Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

#FoodiesLife: Raya Sebulan Kan.. Ini 6 Tips Untuk Buat Ketupat Tahan Lama

Zulaikha Yusof 16/05/2021 | 11:50 MYT
Pejam celik, pejam celik, cepat sungguh masa berlalu. Hari ini sudah memasuki hari keempat dalam bulan Syawal.
Bila tiba Aidilfitri, semestinya hidangan wajib perlu ada adalah ketupat.
Tapi tahukah anda, kalau ambil mudah dalam proses penyediaan dan penjagaan boleh menyebabkan ketupat cepat basi.
Tetapi jangan risau, ada cara untuk kekalkan ketupat supaya tahan lama. Jadi, tak akan berlaku pembaziran terutama untuk golongan bujang yang beraya bersendirian.
Di sini, #FoodiesLife kongsikan tips yang betul untuk ketupat tahan lama dan tidak cepat basi:
1. Guna Beras Yang Berkualiti
Untuk mendapatkan ketupat yang sedap, pastikan pilih beras baru dan tidak hapak. Bersihkan beras supaya dapat hasil ketupat yang bertekstur lembut. Selepas itu, rendamkannya selama 30 minit.
2. Pilih Daun Kelapa
Daun ketupat yang bersih mesti dianyam kemas dan rapi agar isi ketupat tidak terkeluar dan comot. Langkah itu penting bagi mengelakkan terdedah dengan bakteria yang menyebabkan ia cepat basi.
3. Kuantiti Beras
Ini tips yang penting. Untuk mendapatkan ketupat yang lembut, isi beras dengan kadar 1/3 atau 2/3. Jangan lebih atau kurang kerana ia akan menyebabkan ketupat menjadi keras atau lembik.
4. Rebus 4-5 jam
Sebenarnya masa yang diperlukan untuk merebus ketupat hingga masak adalah di antara 4-5 jam.
5. Tos & Gantung
Selesai direbus celupkan ketupat dengan air mendidih yang lain dan siram ketupat dengan air biasa yang sudah dimasak.
Ketupat perlu di tos supaya air rebusan yang berlebihan akan keluar. Selepas itu, gantungkan di tempat yang mempunyai pengaliran udara yang baik.
Tujuan ketupat digantung supaya dapat mempercepatkan proses pengeluaran air berlebihan kerana kandungan air akan menyebabkan proses basi berlaku.
6. Simpan Dalam Peti Sejuk
Ketupat boleh disimpan di dalam peti sejuk tetapi harus dibungkus kemas di dalam plastik. Jika hendak dimakan, hanya kukus semula dalam 10 ke 15 minit.
#Makanan #Aidilfitri #FoodiesLife #Ketupat Palas
;