Laman Utama
#Foodieslife: Wow! Victoria Beckham Hanya Makan Ikan Dan Sayur Kukus Selama 25 Tahun
Victoria Beckham cuba terkenal dengan gaya fesyennya yang minimalist dan kemas. Namun, tidak hanya pada fesyen, Victoria turut menerapkan ‘gaya minimalist’ pada diet hariannya.
Baru-baru ini, suami Victoria, bekas pemain bola David Beckham menjelaskan yang isterinya makan makanan yang sama setiap hari sepanjang tempoh 25 tahun.
“Saya memang ada pertalian dengan makanan. Apabila saya makan makanan yang sedap, saya mahu semua orang mencubanya.
“Namun, saya berkahwin dengan seseorang yang hanya makan makanan yang sama untuk 25 tahun.
“Sejak saya mengenali Victoria, dia hanya makan ikan bakar dan sayur stim. Jarang sangat dia lari daripada menu makanannya itu,” ujar David menerusi podcast River Cafe Table 4 baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut David, dia masih ingat ada satu fasa di mana Victoria pernah mengubah dietnya.
“Satu-satunya ketika yang dia makan apa yang ada di dalam pinggan saya adalah sewaktu dia mengandungkan Harper. Dan ia merupakan satu saat yang menakjubkan.
“Ia merupakan saat yang paling saya suka. Saya lupa apa yang dia makan, tetapi dia tidak menyentuh makanan tersebut sejak itu,” ujar David.
Terdahulu, Victoria mengaku yang dia merupakan seorang yang cerewet apabila tiba soal makanan. Ketika berbicara dengan Table 4 pada November lalu, Victoria berkata yang dia tidak menyukai minyak, mentega atau sos di dalam pinggannya.
Ujar Victoria, comfort food kegemarannya adalah sekeping roti bakar serat tinggi yang ditaburkan garam di atasnya.
“Ia makanan berkarbohidrat kan? Karbohidrat yang buat kita rasa tenang, dan saya suka garam,” katanya sambil mengakui pilihan makanannya agak membosankan.
Foto kredit: Sebastian Coman Photography (Unsplash)