Laman Utama
[FOTO] “Fuh, Ingatkan Betul” - UTK ‘Selamatkan’ 54 Penumpang MH2612, PDRM Dapat Pujian Netizen
Ketangkasan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Unit Tindakhas (UTK) berjaya menyelamatkan 54 tebusan termasuk lima anak kapal terbang yang 'dirampas' oleh sekumpulan pengganas berasal dari negara jiran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi.
Menerusi laman sosial Facebook, PDRM berkongsi beberapa keping foto kejadian yang digelar Latihamal bagi menghadapi ancaman pengganas di lapangan terbang.
Latihamal Serbuan Kapal Terbang (Ex- Op Rampas) UTK yang julung kali diadakan pada tahun ini selepas beberapa kali tertangguh ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak Mac lalu.
Kesemua penumpang kapal terbang MH2612 yang sepatutnya berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu berasa bersyukur apabila detik paling hitam dalam sejarah hidup mereka berjaya 'ditamatkan' oleh UTK, hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja apabila operasi menyelamat dilaksanakan.
Menurut Komander UTK, SAC Tuan Mohd Khairi Khairuddin, objektif latihamal tersebut untuk menguji tahap keberkesanan perancangan dan tindakan PDRM ketika berhadapan dengan ancaman keselamatan di dalam kapal terbang.
Selain itu, ia juga bertujuan memantapkan lagi peranan dan tahap kesiapsiagaan UTK selaku sebuah Pasukan elit anti keganasan yang mampu menangani pelbagai bentuk serangan pengganas dalam negara.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata wargamaya memuji pasukan UTK dan PDRM di atas usaha mereka memerangi pengganas.
Malah, ramai juga yang terkejut kerana menyangkakan kejadian tersebut benar-benar berlaku.
“Mula-mula baca terkejut juga ingatkan betul rupanya buat latihan, PDRM yang terbaik menjaga keselamatan negara,” kata seorang wargamaya.
“Pengalaman seumur hidup. Terima kasih atas jemputan. Walaupun tahu latihan, tapi bila senjata api ditala ke muka, mak oii nak luruh jantung. Terbaik Unit UTK!!!” puji seorang wargamaya.
“Terbaik PDRM. Latihan persediaan menghadapi sebarang ancaman kepada negara,” komen seorang wargamaya.
“Terkejut baca mula-mula tadi, fuhh admin ni,” tulis seorang wargamaya.
“Berlatih semasa aman. Kerja berpasukan,” sokong seorang wargamaya lagi.
Selain PDRM, latihan tersebut turut disertai oleh kru Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang berpangkalan di KLIA.
Hadir sama menyaksikan latihamal di "South Support Zone" KLIA itu adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersama ketiga-tiga timbalannya dan wakil dari MAB.