Hiburan
Foto-Foto Anggota Kumpulan SHINee Menangis Di Upacara Persemadian Jonghyun Undang Sebak
Beberapa siri foto anggota kumpulan SHINee, Key, Onew, Taemin dan Minho menangis ketika upacara persemadian Jonghyun mengundang sebak peminat K-Pop di seluruh dunia.
Foto yang dirakamkan oleh beberapa media Korea itu jelas menunjukkan keempat-empat mereka tidak dapat menahan sebak di upacara persemadian Jonghyun yang berlangsung pada jam 9 pagi tadi.
Key terutamanya gagal mengawal perasaan terus menangis sebaik sahaja selesai mengangkat keranda dan meletakkannya di dalam sebuah kereta khas sebelum dipujuk oleh Onew.
Suasana pilu itu menyebabkan anggota keluarga, teman-teman rapat dan peminat yang hadir di Hospital Asan, Seoul, bagi memberi penghormatan terakhir kepada penyanyi itu turut mengalirkan air mata.
Selain Key, turut bersama mengangkat keranda mendiang sebagai tanda penghormatan terakhir adalah Taemin, Onew dan anggota kumpulan Super Junior, Lee Teuk, Eunhyuk serta Donghae.
Manakala Minho dan kakak Jonghyun, Kim So Dam mengetuai upacara tersebut.
Upacara penghormatan terakhir itu juga turut dihadiri oleh kumpulan Girls Generation, EXO, NCT dan RED VELVET.
Terdahulu, kematian Jonghyun telah membuka mata pelbagai pihak supaya tidak mengambil mudah tentang penyakit tekanan perasaan.
Foto: Media Korea
Teks oleh: Mya Amri