Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Gagal Pertahan Undian, Hans Isaac & Altimet Tewas

Gempak 29/05/2022 | 10:20 MYT
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertahankan kerusi Ketua Cabang Gombak pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 selepas menewaskan pencabar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Amirudin peroleh 1,858 undi iaitu 351 undi secara fizikal dan 1,507 undi secara dalam talian manakala Farhash dengan 1,215 undi ( 679 undian secara fizikal dan 536 undian dalam talian).

Keputusan itu menyaksikan Amirudin menang selesa dengan majoriti 643 undi sementara Timbalan Ketua Cabang Gombak milik A Rahim Ahmad Kasdi menewaskan dua pencabar lain.

Sementara keputusan Pemilihan PKR Cabang Ampang membabitkan tujuh penjuru bagi kerusi ketua cabang memihak kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang peroleh sebanyak 942 undi.

Keputusan itu menyaksikan Daing Muhammad Reduan berjaya menewaskan dua selebriti iaitu Hans Isaac (Gerald Hans Isaac) dan Altimet (Syed Ahmad Abdul Rahman Al Hadad).

Di Hulu Selangor, Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow yang mendapat 1,803 undi tewas kepada Dr Sathia Prakash yang peroleh 1,903 undi.

Pemilihan PKR Shah Alam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail menewaskan dua pencabar lain manakala ADUN Kota Anggerik menang sebagai Timbalan Ketua Cabang Shah Alam.

Pemilihan PKR Selangor membabitkan 22 cabang dilaksanakan serentak pada 21 Mei lalu kecuali Hulu Selangor yang ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada Sabtu.

Pemilihan pada kali ini memperkenal kaedah undian secara dalam talian sebagai alternatif kepada pengundi yang tidak mahu mengundi secara fizikal.

SINAR HARIAN

#Altimet #Hans Isaac #Undian #Kalah Undian
;