Berita
Gara-Gara Tular Harga Pokok Lidah Jin Cecah RM200 Sepasu, Penganggur Nekad Mencuri!
Seorang penganggur nekad mencuri pokok lidah jin di sebuah pusat asuhan kanak-kanak selepas tular harga pokok hiasan itu dikatakan boleh mencecah sehingga RM200 sepokok.
Menurut sumber, kejadian berlaku di Kuala Berang kira-kira 6.15 petang pada 24 Jun lalu itu disedari seorang pengajar.
Katanya, kehadiran suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan pusat asuhan berkenaan menyebabkan seorang tenaga pengajar membuat pemeriksaan.
"Wanita terbabit kemudian mengajak rakannya untuk membuat pemeriksaan dan suspek memaklumkan singgah di kawasan berkenaan untuk mencuci tangan sebelum beredar.
"Hasil pemeriksaan mendapati lima pokok lidah jin yang ditanam dalam pasu hilang dan berada dalam bakul motosikal ditunggang suspek yang ketika itu melarikan diri.
"Susulan laporan dibuat, suspek berusia 37 tahun ditahan di rumahnya di daerah ini kira-kira 5.30 pagi Selasa," katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sumber: Harian Metro