Gaya Hidup
Gastro Groove Fest Festival Pertama Gabungkan Pesta Muzik, Makanan, & Budaya
Gastro Groove Fest, sebuah festival yang julung kali dibawakan dengan menggabungkan makanan, pesta muzik dan budaya.
Acara ikonik ini akan diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah dari 31 Januari hingga 2 Februari 2025, membawa pengalaman unik kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif.
Festival ini dirancang sebagai platform strategik untuk mempromosikan makanan tradisional Kedah, disamping mengangkat elemen muzik dan budaya tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gastro Groove Fest, Ally Isyraf, Gastro Groove Fest bukan sekadar pesta, ia adalah ruang bagi komuniti untuk berhubung, berkongsi budaya dan memupuk perpaduan.
"Acara ini adalah sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertujuan memperkayakan tawaran pelancongan negeri ini.
“Kami mahu memperkenalkan semula keunikan budaya Kedah kepada dunia sambil menggalakkan penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti yang membina,” katanya.
Gastro Groove Fest akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Dari segi makanan, pengunjung boleh menikmati sajian asli Kedah yang disediakan oleh pengusaha tempatan. Selain itu, gerai makanan yang menampilkan konsep moden dan tradisional akan menjadi tarikan utama.
Festival ini juga mempersembahkan pelbagai acara kebudayaan, termasuk Wayang Kulit, Mek Mulung, dan Wayang Pacak, yang dirancang untuk memperkenalkan semula seni tradisional Kedah kepada generasi muda. Persembahan ini akan memberikan pengalaman autentik dan memupuk apresiasi terhadap warisan budaya negeri ini.
Tidak lengkap sebuah festival tanpa hiburan. Gastro Groove Fest akan menampilkan persembahan artis-artis terkenal yang akan menyemarakkan suasana dengan pelbagai genre muzik. Pentas utama festival dijangka menjadi tumpuan, menawarkan hiburan berkualiti sepanjang tiga hari.
Antara selebriti yang bakal membuat persembahan adalah Gerhana Ska Cinta, Ruffedge, Monosterio, dan ramai lagi.
Gastro Groove Fest turut menawarkan pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti zon kanak-kanak, permainan tradisional, dan rumah hantu yang interaktif. Aktiviti E-Sukan juga akan menjadi tumpuan, memberikan peluang kepada golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka di pentas kompetitif.
Penganjuran Gastro Groove Fest adalah hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan dan syarikat korporat. Kerjasama ini membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan perniagaan mereka, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Ally Isyraf menjelaskan, “Kami percaya dengan platform seperti ini, usahawan tempatan dapat memperluaskan rangkaian mereka dan meningkatkan pendedahan kepada produk-produk mereka.”
Gastro Groove Fest menjanjikan pengalaman yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari, menyediakan ruang kepada komuniti untuk bersama-sama menikmati dan meraikan warisan negeri Kedah. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, dari 31 Januari hingga 2 Februari 2025 di Taman Jubli Emas, Alor Setar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Gastro Groove Fest, sila ikuti platform media sosial Gastro Groove Fest atau sebarang pertanyaan boleh hubungi +6012-398 0553.
Must-Watch Video