Hiburan
Gegar Vaganza 2 (GV2): Azian Tersingkir, Enam Peserta Ke Konsert Akhir
Enam peserta mara ke pusingan final pertandingan Gegar Vaganza 2 (GV2) selepas Azian Mazwan Sapuwan tersingkir pada konsert separuh akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Selepas berjuang selama lapan minggu, Faradhiya, Nassier Wahab, Haiza, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Acong mara ke peringkat akhir untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta sebuah single baru terbitan Astro.
Nasib tidak menyebelahi Azian setelah tiga minggu berturut-turut berada di kedudukan dua terbawah.
Beliau yang mendendangkan lagu nyanyian asal Safura berjudul Sedalam Mana Cintamu tersingkir selepas mendapat markah terendah antara semua peserta yang bertanding.
Peserta yang layak bakal berdepan dua tugasan iaitu nyanyian solo dan 'battle' minggu hadapan untuk merebut gelaran juara GV2.
GV2 sepatutnya berakhir pada malam ini namun disambung seminggu lagi selepas mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Pertandingan itu diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang dibarisi Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam selaku juri jemputan pada minggu ini.
Astro Gempak kongsikan info kedudukan peserta pada peringkat separuh akhir GV2:
1. Siti Nordiana – 83%
2. Nassier Wahab – 79%
3. Ezad Lazim – 77%
4. Acong Sweet Child – 76.9%
5. Haiza – 74%
6. Farahdhiya – 72%
7. Azian Mazwan Sapuwan (Tersingkir) – 68%
Sama-sama kita saksikan konsert akhir GV2 minggu hadapan, yang dibawakan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan disiarkan di saluran rasmi Astro Ria (saluran 104) serta saluran serentak Ria HD (saluran 123), pukul 9 malam.
Tiket untuk konsert akhir boleh didapati di www.ticketcharge.com.my
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin