Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Gempa Bumi Di Jepun, Awal Ashaari Dan Keluarga Selamat - “Tak Rasa Apa Apa Pun Tapi Selepas…”

Mya Amri 02/01/2024 | 05:55 MYT

Pelakon, Awal Ashaari yang kini berada di Jepun memaklumkan bahawa dirinya bersama isteri, Scha Alyahya serta anak-anak berada dalam keadaan selamat.

Menurut Awal, terdapat beberapa lokasi di Jepun yang mengalami gempa bumi.

“Ada beberapa kawasan di Jepun berlaku gempa bumi dan kami sekeluarga berada di dalam sebuah metro ketika ia berlaku.

“Tak rasa apa apa pun di sini tetapi selepas kami melihat berita dan juga video ia agak teruk. Ada beberapa sahabat kami di sini merasai gegeran itu dari bilik hotel mereka.

“Alhamdulillah kami sekeluarga okay dan terima kasih kerana mengambil berat tentang kami. Di tengah Tokyo ini semua orang macam meneruskan kehidupan masing-masing sebab dah terbiasa dengannya.

“Semoga kita dipelihara dan semoga Allah lindungi kami dan semua yang berada di bumi matahari terbit ini. Insya-Allah,” coretnya menerusi ruangan Insta Story.

BERITA TRENDING: Jepun Rekod 29 Gempa Bumi Dalam Masa 2 Jam, Seorang Dilaporkan Meninggal Dunia

Terdahulu, Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami peringkat tinggi selepas beberapa siri gempa bumi kuat menggegarkan kawasan barat negara itu pada Isnin.

Siri gempa bumi melanda Ishikawa dan wilayah berdekatan, dengan satu gempa bumi bermagnitud 7.4, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Dalam satu sidang media pada Isnin, JMA juga memaklumkan pihaknya menjangkakan satu lagi gempa bumi kuat akan melanda kawasan tersebut dalam masa seminggu akan datang.

Biarpun gempa bumi yang melanda kali ini tidak seteruk yang berlaku pada 2011, namun rakyat Jepun tetap bimbang dengan amaran gempa bumi seterusnya dalam masa seminggu akan datang.

#Scha Alyahya #Awal Ashaari #Jepun #Gempa Bumi
;