Berita

#GempakMemilih2020: Haqiem Bimbang Diri Daripada Karier - "Jika Tahun Depan Saya Dah Dilupakan Pun Tak Apa"

ZULHILMI JALIL
25/12/2020
15:42 MYT
Sponsor Banner
#GempakMemilih2020: Haqiem Bimbang Diri Daripada Karier - "Jika Tahun Depan Saya Dah Dilupakan Pun Tak Apa"
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Siapa sangka lembaran 2020 melakarkan satu memori yang cukup manis buat penyanyi Haqiem Rusli.
Bahkan, tidak keterlaluan jika menyifatkan 2020 sebagai tahun tuah buat pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli ini.
Pada usia yang cukup muda, 22 tahun, Haqiem berjaya membuktikan dia merupakan bintang yang cukup menyinar apabila diangkat sebagai artis paling popular berdasarkan undian pada dua majlis pengiktirafan yang cukup mega.
Bagi Haqiem sendiri, dia percaya apa yang dikecapi pada hari ini semuanya merupakan rezeki daripada-Nya.
Sempena #GempakMemilih2020 kali ini, jom ikuti temu bual Gempak bersama Haqiem yang membicarakan mengenai perjalanan muzik dan kejayaannya:
Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh bagi tahun ini?
Saya sangat berpuas hati. Terlalu banyak rezeki yang Allah beri kepada saya dan saya sangat bersyukur. Bagi saya 2020 tahun yang paling mega dalam karier muzik saya dengan pengiktirafan industri Malaysia terhadap saya. Saya sangat gembira dengan penerimaan umum terhadap diri ini.
Adakah semua yang anda inginkan dalam dunia nyanyian kini sudah tercapai?
Sebenarnya, niat apa yang saya nak capai dalam muzik ini adalah pertamanya untuk ibu bapa dan keluarga, keduanya adalah menghiburkan orang. Saya mahu membuat orang senyum, terhibur dan gembira dengan lagu-lagu saya selain memberi manfaat kepada masyarakat dengan nilai-nilai murni pada mesej lagu.
Pada saya itu sudah cukup, selebihnya hal pengiktirafan itu hanya bonus. Kalau tak ada benda itu pun saya tetap bersyukur.
Di sebalik kejayaan yang anda kecapi, apakah kebimbangan anda sebagai seorang penyanyi?
Bagi saya perjalanan hidup saya ini sudah ditentukan oleh tuhan di mana apa yang bakal terjadi semua itu kerja-Nya. Bukanlah saya tak bimbang, cuma saya bimbang dari segi kehidupan saya.
Adakah saya akan lupa diri, adakah saya sombong, perkara itu yang saya bimbangkan. Saya tak bimbang karier saya. Jika tahun depan saya dah dilupakan pun, tak apa sekiranya itu memang ketentuan tuhan. Saya lebih bimbang diri saya. Pada masa sama, saya berpesan pada diri, saya melihat diri saya, mana yang salah kita perbetulkan.
Sepanjang penglibatan awak sebagai anak seni, adakah anda pernah merasakan diri pada tahap paling bawah?
Bagi saya ,apa yang saya alami dalam karier adalah proses saya untuk jadi lebih matang, untuk menjadi Haqiem Rusli dari sisi yang lebih baik. Mungkin jika benda itu tak berlaku, tak menjadikan diri saya pada hari ini. Apa yang berlaku itu ada hikmah kerana membentuk diri saya untuk menjadi lebih baik.
Apa pendirian yang selama ini anda pegang sebagai seorang penyanyi?
Pendirian saya mudah iaitu niat kita. Niat kita sebagai seorang penghibur. Tak kisah dalam apa jua bidang, niat paling penting.
Kita jadi penyanyi ni apa niat kita, adakah nak jadi glamour sahaja? Macam saya mudah, saya nak hiburkan orang, nak tolong mak ayah saya, saya nak sampai lagu-lagu ke arah positif. Bukanlah saya berada di atas pentas hanya menyanyi kosong. Orang kata biarlah ada isi dalam perbuatan saya. Apapun kita kena jaga niat kita.
Siapakah insan yang menjadi pendorong anda dalam dunia muzik?
Pendorong utama paling kuat adalah keluarga, sahabat-sahabat, label muzik dan saya punya kelab peminat Qiemilio. Mereka ini tulang bekalang yang menyokong saya sama ada saya dibenci atau disukai.
Bagi saya hidup sebagai insan seni ini, kami hidup dalam pujian orang dan kebencian orang, jadi diri sendiri kena pandai urus. Sebab itu jugalah saya selalu berpesan selalu positif dalam apa jua, sama ada kita salah atau betul.
Apa yang anda ingin katakan kepada peminat anda di luar sana?
Buat masa ini, saya hanya mampu ucapkan terima kasih sebab sekarang ini kalau nak adakan persembahan tak boleh sebab kita mengikut SOP (prosedur operasi standard). Begitupun saya ambil alternatif lain, buat live di Instagram, saya rajin tweet mereka di Twitter, rajin komunikasi di media sosial. Tunggu habis Covid saya akan buat meet & greet dan lain-lain lagi.
Boleh kongsikan satu perkataan yang menggambarkan diri anda?
Saya seorang yang cool dan sempoi.
Apakah impian dan misi yang anda rencanakan sempena kedatangan 2021?
Saya tengah bekerja keras untuk album kedua saya tahun depan. Saya akan keluarkan lagu-lagu yang lebih segar yang tak pernah dibuat sebelum ini.
Jika, pandemik Covid-19 habis, insya-Allah saya akan buat konsert sulung. Sekarang ini, persiapan semua juga sudah mula dibuat cuma tinggal tunggu masa bersesuaian sahaja.
Dalam pada itu, jangan lupa untuk sama-sama mengundi artis kesayangan korang yang tercalon dalam Gempak Most Wanted di sini.
Undian akan ditutup pada 28 Disember, jam 6 petang. Jadi tunggu apa lagi? Jom undi!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar