Hiburan

GempakMemilih2020 : Menyingkap Semula Wajah Keyakinan Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah!

Hanafis Haris
27/12/2020
13:29 MYT
Sponsor Banner
GempakMemilih2020 : Menyingkap Semula Wajah Keyakinan Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah!
Masih segar dalam ingatan penulis kali pertama bersemuka dengan insan ini.
Pada waktu itu, beliau mengendalikan kes kematian abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Nam sekitar pertengahan 2017.
Namun, figura Ketua Pengarah Kesihatan ini mungkin hanya dikenali oleh sesetengah pihak saja biarpun kes Kim Jong Num boleh dikatakan sebagai isu global.
Biarpun kes tersebut dianggap berat, namun sidang media yang berlangsung sangat lancar dan seperti biasa beliau menjawab persoalan media termasuk wakil antarbangsa dengan begitu tenang.
Kini, siapa sangka individu yang penulis lihat dari jauh tiga tahun lalu itu menjadi insan yang paling disayangi dan dihormati ketika ini.
Nama Tan Sri Dr Noor Hisham kini terpahat sebagai individu terpenting dalam memerangi virus COVID-19.
Bak kata netizen, Dr Noor Hisham ni macam panglima di medan perang!

Dilahirkan Dalam Keluarga Miskin

Menyingkap kembali sejarah Dr Noor Hisham, kehidupan zaman kanak-kanaknya bukanlah semewah yang disangka.
Beliau dilahirkan di Sepang, Selangor pada 21 April 1963 dan nama asalnya adalah Yew Ming Seong. Figura ini dibesarkan dalam sebuah keluarga miskin berbangsa Cina.
Menerusi laman web bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (MBSKL) memaklumkan bahawa beliau dibesarkan di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur iaitu Flat Loke Yew.
Terkejut bukan?
Malah, ibunya dikatakan hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci dan terpaksa berhempas pulas membesarkannya bersama seorang lagi kakaknya.
Biarpun tidak mewah seperti kanak-kanak lain, namun ilmu dan pembelajaran tidak diabaikan oleh keluarganya.
Hidup dalam serba kekurangan tidak mematahkan semangat, sebaliknya itulah yang menjadikan Noor Hisham lebih cekal hingga memperoleh segulung Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bermulanya Perjalanan Sebagai Doktor

Untuk makluman, Dr Noor Hisham mula menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada bulan Ogos 1988.
Sebelum bergelar Ketua Pengarah Kesihatan, beliau terlebih dahulu menjawat tugas penting dalam KKM antaranya Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya.
Beliau juga menjadi Pakar Bedah Umum (1994), Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya (2004) seterusnya Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007.
Beliau kemudian diangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bermula 29 Januari 2008 sebelum diisytiharkan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Mac 2013.
Berikut merupakan pengalaman beliau daripada awal sehingga 2020 :
  • Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Mac 2013
  • Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bermula 29 Januari 2008
  • Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya bermula 16 Ogos 2002
  • Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin, Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur bermula 16 Januari 1998
  • Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia 1997-1998
  • Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia 1997
  • Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu bermula 1 Julai 1994
  • Master of Surgery Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur (1990-1994)
  • Medical Officer Accident and Emergency Department, Hospital Kuala Lumpur bermula 2 Oktober 1989
  • House Officer, Hospital Universiti Kuala Lumpur bermula 1 Ogos 1988
Sumber: Portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia

Pasca COVID-19

Seperti penulis katakan tadi, nama Dr Noor Hisham sebenarnya sudah bertapak lama dalam kementerian.
Mungkin ada yang sedar, namun tidak kurang juga yang belum mengenali beliau biarpun wajahnya kerap terpampang di kaca televisyen.
Walaubagainapun, ketika itu mungkin nama figura ini tidak sebesar selepas negara dilanda ancaman COVID-19.
Namun, apa yang membuatkan Noor Hisham menjadi dihormati adalah caranya beliau mengawal rakyat daripada terus panik.
Antara kekuatan figura hebat ini a adalah ciri-ciri kepimpinan beliau yang cemerlang dalam menangani krisis COVID-19 yang melanda bukan sahaja Malaysia malah dunia.
Siapa boleh lupa ketika tempoh awal Malaysia dilanda COVID-19, wajah Noor Hisham sajalah yang dipaparkan baik di televisyen mahupun media sosial.
Pastinya ketika itu rakyat menaruh harapan sepenuh kepada insan ini untuk membuat keputusan memerangi pandemik tersebut.
Bak kata netizen, beliau adalah panglima di 'medan perang' ketika itu.
Setiap hari rakyat Malaysia menunggu laporan yang dibentangkan Dr Noor Hisham.
Sesekali, wajahnya kelihatan sugul dan penat. Mungkin penat dengan sikap sesetengah masyarakat yang culas dengan arahan kerajaan.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga dilihat sangat bijak dalam membuat keputusan disamping berani mengambil risiko.
Sebagai contoh, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu banyak dipengaruhi oleh nasihat dan cadagan Dr Noor Hisham.
Peliknya, rakyat semua akur dan tidak membantah seperti mana negara luar, apatah lagi keluar membuat tunjuk perasaan dan sebagainya.
Sekali lagi, ketenangan Dr Noor Hisham dan nasihat beliau menjadikan rakyat menerima dengan hati terbuka perlaksanaan PKP.
Hasilnya, jumlah kes COVID-19 menurun dan jangan lupa Malaysia pernah mencapai angka kosong sebelum ia kembali meningkat dengan gelombang lebih besar.

Pengiktirafan Saat Pandemik

Sepanjang pasca pandemik ini juga, Dr Noor Hisham telah menerima pelbagai penghargaan baik dari dalam atau luar negara.
Pada 3 April 2020, beliau terpilih untuk menyertai Gabungan Penyelidikan Klinikal COVID-19 dalam usaha memerangi penyakit itu di tahap yang lebih tinggi.
Paling membanggakan, beliau turut dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.
Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang coronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.
Malah, Dr Noor Hisham kemudian dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' pada Ogos lalu.
Gelaran tersebut dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dr Noor Hisham Abdullah juga mendapat pengiktirafan dunia menerusi Anugerah BrandLaureate oleh The Worlds Brands Foundation.

Kepemimpinan Dr Noor Hisham bersama petugas barisan hadapan menangani penularan pandemik COVID-19 melayakkannya menerima Anugerah BrandLaureate - Kecemerlangan Jenama Kepemimpinan 2020.

Namun dalam pada pelbagai pengiktirafan diberi, Dr Nooo Hisham masih merendah diri.
Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi, lontarlah apa jua kejayaan dan pujian kepada Dr Noor Hisham, beliau tidak putus-putus memberi mengangkat nama petugas di belakangnya termasuklah kesemua frontliner.
Sikap merendah diri ini menjadikan dia lebih dihormati. Begitulah ciri ketua yang sebenar, apa jua kejayaan terus mengangkat anak buah!

Tidak Terlepas Daripada Kritikan!

Lumrah manusia, apa saja dibuat pasti ada yang tidak senang.
Di sebalik usaha dan jasa beliau curahkan, masih ada juga yang mengambil kesempatan mengkritik dan mempersoalkan kredibilitinya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
Antara yang lantang mengrkitik beliau adalah pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin yang mempersendakan Dr Noor Hisham dalam karya yang dikongsi di media sosialnya.

Fahmi Reza mengambarkan Dr. Noor Hisham sebagai boneka Mikey Mouse dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali pula sebagai Tok Dalang yang memegang boneka tersebut.

Fahmi Reza dipercayai menyindir hukuman ringgan sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap Mohd Khairuddin yang tidak mematuhi arahan kuarantin selepas pulang dari luar negara seperti rakyat lain
Selain Fahmi, seorang ahli Parlimen turut melabel Dr Noor Hisham takut mati kerana tidak turun padang di Sabah ketika pandemik COVID-19.
Isu tersebut menimbulkan kemarahan ramai apabila menganggap ahli parlimen tersebut sebagai melampau.
Tidak melatah dengan tomahan tersebut, Dr Noor Hisham kemudian membalas dengan kenyataan ini.

"Tidak timbul isu kita takut mati. Sebagai orang Islam, kita terima kematian itu berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang atau tidak.

"Jadi, apa yang penting adalah kita pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas," katanya.

Sekali lagi beliau menunjukkan ciri pemimpin yang tenang dan tidak takut dikritik.
Kepada pengkritik pula, renungkanlah, apa sumbangan anda di kala pandemik ini?

Moga Pandemik Berakhir, Rehatlah Tan Sri!

Apapun semoga Dr Noor Hisham akan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda negara ini, sekali gus melahirkan lebih ramai lagi ikon yang hebat dalam kalangan penjawat awam.
Akhir kata, habis saja pasca COVID-19, penulis pasti seluruh rakyat Malaysia ingin melihat tokoh kesayangan ramai ini berehat mengambil cuti meluangkan masa bersama keluarga.
Di saat orang ramai menyambut Hari Raya, Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru Cina, kita lupa ada frontliner dan Dr Noor Hisham sendiri yang bertarung nyawa.
Apapun, terima kasih kepada melindungi rakyat Malaysia.
Tahun 2020 membuka mata rakyat untuk lebih menghargai petugas barisan hadapan.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selayaknya tersenarai dalam GempakMemilih2020!
Sumber rujukan :
https://www.google.com.my/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/04/677699/dr-noor-hisham-antara-doktor-terbaik-di-dunia-tangani-krisis-covid-19
https://www.google.com.my/amp/s/www.astroawani.com/berita-malaysia/fakta-menarik-anda-perlu-tahu-tentang-datuk-dr-noor-hisham-abdullah-240950%3famp=1
Sumber Gambar: Astro Awani & https://www.facebook.com/100003283858364/posts/2909898832462883/?d=n
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar