Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

#GempakReview: Pelakon Tepat, Lagu-Lagu On Point Cuma Sedikit Longgar, Filem Kukira Kau Rumah Lebih Kepada ‘Over-Hyped’?

Azwa Rahman 15/02/2022 | 11:35 MYT
Filem percintaan remaja Indonesia yang tular, Kukira Kau Rumah sudah mula memasuki pawagam Malaysia bermula 17 Februari ini.
Kukira Kau Rumah mengangkat kisah kesihatan mental dan percintaan remaja yang diadaptasi sebuah lagu dengan berjudul yang sama hasil nyanyian Amigdala.
Berkesempatan menjadi penonton sewaktu majlis tayangan perdananya pada minggu lalu, Gempak menyifatkan kisah dua remaja (Niskala dan Pram) seperti cinta tragis.
Mesej yang mahu disampaikan jelas tetapi digarap sedikit longgar oleh pengarah Umay Shahab.
Boleh dilabel sebagai ‘over-hyped’, filem yang popular di media sosial terutamanya platform TikTok ini cukup dinanti-nantikan oleh anak-anak muda tanahair.
Sinopsis
Susuk Niskala lakonan Prilly Latuconsina diangkat menjadi karakter utama yang menghidapi gangguan kesihatan mental dan diagnosis bipolar sejak zaman sekolahnya.
Melihat keadaan yang ‘tidak stabil’ itu membuatkan ibu bapanya menjadi ‘over protective’ terhadap anak perempuan mereka, tanpa mereka ketahui tindakan tersebut membawa kesan yang buruk pada pemikiran Niskala.
Seiring membesar dengan usianya, Niskala mengalami banyak cabaran dalam menjalani kehidupan sosialnya.
Berjaya memujuk ibu bapanya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kolej, Niskala bertemu dengan Pram lakonan Jourdy Pranata, seorang senior yang membawa warna dalam kehidupannya.
Pram pula digambarkan sebagai seorang anak muda yang kesepian, ditinggalkan bapa dan kurang mendapat perhatian ibu yang sibuk mencari rezeki.
Kedua-duanya bertemu dan seolah-olah saling melengkapi. Pengembangan karakter Niskala dan Pram diolah dengan secukup rasa sehingga terlihat mereka pasangan paling bahagia di dunia.
Sehingga tiba waktunya Pram mengetahui tentang penyakit Bipolar Niskala, ada beberapa konflik terjadi yang Gempak rasanya ia seperti terlalu ‘diada-adakan’.
Karakter dan penceritaan
Prilly Latuconsina menerima banyak pujian kerana berjaya membuatkan Niskala popular.
Emosi yang ditonjolkan sebagai gadis yang bermasalah pula membuatkan perasaan penonton bercampur-baur melihatnya. Sama ada anda akan berasa kasihan atau timbul rasa menjengkelkan, semuanya terpulang pada penerimaan anda.
Hadir pula Pram, seorang anak berada yang rajin menulis lagu tetapi kesepian kerana ditinggalkan ibu bapa.
Niskala datang ke dalam hidup Pram pada waktu yang tepat. Daripada bergaduh, hati kesepian mereka bertaut dengan cepat.
Bijak melayan emosi Niskala yang seperti roller coaster, Pram menjadi orang yang paling disayanginya selain ibunya sendiri.
Kemampuan Prilly dan Joardy di dalam filem ini layak diberi tepukan kerana kisah mereka boleh dikaitkan dengan anak remaja zaman kini.
Namun bagi watak pembantu, ia kurang diberi penekanan. Teman baik Niskala iaitu Dinda (Shenina Cinnamon) dan Oktavianus (Raim Laode) kadang boleh dianggap sebagai penambah bara api sehingga merasakan mereka ini antara punca gadis ini 'tantrum'.
Sama juga dengan ibu bapa Pram yang tidak diceritakan dengan terperinci. Ayahnya sudah tiada dan ibunya hanya muncul di akhir cerita, Gempak nak tahu apakah punca keluarga tersebut pincang dan seperti tidak bahagia.
Boleh dikatakan filem Kukira Kau Rumah ini bermain sekitar Niskala dan Pram sahaja tanpa dikembangkan watak-watak pembantu yang lain.
Konflik yang relatable dalam kalangan remaja
Mengangkat isu kesihatan mental, kesepian yang melanda kehidupan Niskala dan Pram boleh dirasai oleh penonton.
Pram hidup dengan ibu tunggal yang sibuk bekerja, tidak menghiraukannya, sering tinggal sendirian, malah jika mahu meluahkan masalah, WhatsApp menjadi perantara.
Niskala pula selama ini dilindungi oleh ayahnya, akhirnya membuat kejutan dimana sebenarnya bukan itu yang diinginkan. Gadis itu sering memendam perasaaanya, berasa terasing apabila perlu menuntut perintah kedua orang tuanya.
Generasi muda yang berdepan dengan situasi ini sekarang, akan merasa peritnya kehidupan yang dijalani Pram dan Niskala.
Mungkin itu juga ramai yang menangis hingga pengsan, malah ada yang mahu membawa bekas kekasih mereka menonton bersama filem ini.
Sinematografi dan penggunaan lagu yang cukup on point!
Dua perkara ini memang layak dipuji. Umay Shahab berjaya memberikan visual yang sedap mata memandang, sesuai dengan tema percintaan remaja.
Emosi bersilih ganti yang dipamerkan oleh Niskala dan Pram dirakam cukup sempurna sehinggakan membuatkan penonton mengalirkan air mata.
Skor muzik yang sering kali memutarkan lagu-lagu ciptaan Pram seperti Hujan, Kukira Kau Rumah, Selepas Gulita cukup memanjakan telinga penonton, terbuai-buai seperti berada di konsert Niskala dan Pram.
Gempak review: 3.5/5 bintang
#Review #Rumah #Jourdy Pranata #Kau #Kukira #Kukira Kau Rumah #Niskala
;