Laman Utama

#GempakSpot: Arwah Pak Mat Lif & AJK, Satira Sosial Wajib Tonton Rakyat Malaysia

Maliah Surip
21/06/2021
14:20 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: Arwah Pak Mat Lif & AJK, Satira Sosial Wajib Tonton Rakyat Malaysia
Pertama sekali saya nak ucapkan syabas buat pelaku seni Khir Rahman. Filem garapannya yang sedang tayang di Astro First, Arwah Pak Mat Lif & AJK adalah sebuah naskhah yang cukup rencah sindiran dan ketajaman pengamatan pelaku seni terhadap senario rakyat di Malaysia.
Arwah Pak Mat Lif & AJK bukan sebuah filem dengan nilai populariti yang tinggi. Para pemain yang dipilih menggerakkan setiap karakter di filem ini juga saya percaya tidak mempunyai berjuta juta followers di laman sosial seperti Instagram.
Tapi pelaku seni seperti Khir Rahman peduli apa. Beliau tetap meletakkan kepercayaan kepada aktor senior seperti Jalil Hamid, Sathia dan Sheila Mambo misalnya untuk menjadi antara tunggak utama dalam naskhah yang tebal dengan satira sosialnya.
Bersama tiga pelakon hebat yang semakin dilupakan ini, sang pengarah meletakkan Joey yang cukup terkenal dengan aksi humornya dalam karakter yang 'lari' dari sisi di pentas lawak.
Joey di dalam filem ini biar sedikit menyelitkan unsur humor Joey, membawa penonton melihat kredibiliti sebenarnya sebagai pelakon. Bersahaja dan berisi.
Adanya pelakon hebat seperti Anas Ridzuan dan Douglas Lim juga sudah cukup membuat Pak Mat Lif & AJK yang sama dijayakan oleh pelakon seperti Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, dan Wafariena just nice ditonton.
Biar punya beberapa adegan yang bersifat 'lakonan', namun intepretasi dan realiti yang mahu disampaikan oleh pengarah, mengalir mudah difahami oleh penonton, terutama rakyat marhean seperti saya.
Menonton bagaimana jenazah Pak Mat yang meninggal dunia mahu dibawa turun dari tingkat 25 flat kediamannya, dengan masalah lif yang cukup akrab bersama para penduduk cukup membuat saya terdiam.
Perasaan ingin ketawa dalam humor yang sengaja dicetuskan menerusi dialog dan babak yang dipaparkan mematikan adrenalin itu. Ia perlahan lahan bertukar membuat fikiran saya menerawang; bagaimana esok lusa jika saya meninggal dunia (juga tinggal di rumah bertingkat tingkat) mahu dibawa turun dengan mudah dan selesa.
Apa lagi kita semua maklum berapa keluasan lif. Berapa purata tinggi seorang rakyat Asia dan bagaimana pengusung jenazah akan masuk sekali bersama kita dalam keadaan berbaring bukannya berdiri!
Serius, Khir Rahman mencelikkan mata kita yang tidak buta. Sengaja dijentik naluri penonton dengan watak watak yang pada pandangan mata kasar adalah pencetus humor, tetapi menyentak sanubari dengan betapa banyaknya sindiran sosial.
Filem ini menyentuh isu sosio ekonomi, masalah golongan B40, perpaduan rakyat berbilang kaum serta empati yang ada sesama manusia. Semua digarap sederhana, namun mengena.
Ia juga memaparkan sikap manusia ; antara bertanggungjawab dengan tidak terhadap kemudahan juga keadaan sekeliling yang telah disediakan untuk semua.
Sungguh, saya terhibur. Walaupun Pak Mat Lif & AJK mungkin tidak digarap dengan bajet jutaan ringgit tetapi pengisian yang ingin disampaikan kepada seluruh penonton sangat mahal.
Kalau ada masa, saya usulkan semua rakyat Malaysia tidak kira politikus, orang kayangan waima rakyat jelata tontonlah Pak Mat Lif & AJK. Selepas menonton, mungkin ada yang mengambil iktibar atau terasa dicuit, anggaplah seperti pepatah Siapa Makan Cili Dia Berasa Pedas.
Tahniah dan syabas sekali lagi bukan sahaja buat Khir Rahman, tapi seluruh produksi yang telah memvisualkan sebuah tayangan kehidupan yang sebenar. Walaupun filem hanya sekadar hiburan, ia juga mampu menjadi wacana yang baik dalam mencakna minda kita.
Sekadar informasi, Pak Mat Lif & AJK diterbitkan Excellent Pictures Sdn Bhd ini dibawa terus ke Pawagam Rumah Anda, oleh Astro Shaw menerusi Astro First, saluran 480.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar