Gaya Hidup
#GempakSpotlight : Ini Barisan Lima Pereka Fesyen Berprofil Tinggi Di Malaysia
Industri fesyen di Malaysia kini semakin berkembang, meskipun populasi penduduk tidaklah begitu besar seperti di kota New York, London mahupun Milan, namun pencinta fesyen di Kuala Lumpur benar-benar mengikut arus trend semasa!
Perkara itu turut menjadi faktor kepada keutuhan sesebuah label hasil usaha keras pereka fesyen tempatan.
Kali ini, ruangan Gempak Spotlight menampilkan kepada anda barisan lima pereka fesyen berprofil tinggi di Malaysia.
Datuk Rizalman Ibrahim
Sudah tentu senarai ini akan dimulakan dengan nama Datuk Rizalman Ibrahim, a man who needs no introduction!
Hasil kerja dan sentuhan couture Rizalman tidak pernah mengecewakan, tidak hairanlah ramai wanita berprofil tinggi di negara ini mencintai rekaan mewahnya.
Terbaru, Rizalman diberi kepercayaan untuk menyiapkan persalinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KBDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta puteri-puteri baginda ketika Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billa Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.
Datuk Bernard Chandran
Datuk Bernard Chandran bukan sahaja melakar kejayaan di arena fesyen tempatan malah turut menempa nama di peringkat antarabangsa.
Memegang kelulusan dari Paris American Academy, Bernard sentiasa tampil dengan rekaan unik dan setaraf jenama besar di luar negara.
Pereka fesyen kelahiran Petaling Jaya ini juga pernah diundang sebagai juri jemputan di program Britain's Next Top Model musim keenam, episod 12. Benar kata ramai, ilmu dan citarasa tinggi Bernard telah melayakkan dirinya memegang takhta Malaysia's King of Fashion!
Datuk Radzuan Radziwill
Datuk Radzuan Radziwill juga merupakan pereka fesyen hebat yang juga tidak pernah tersungkur! Label Radzuan Radziwill sentiasa menjadi dambaan wanita kerabat diraja dan golongan VIP di ibu kota.
Antara nama besar yang sentiasa mengenakan jenama ini adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Tidak hairanlah Radzuan diberi kepercayaan untuk menyediakan persalinan indah untuk majlis persandingan penyanyi popular itu pada tahun 2006.
Izrin Ismail (Innai Group & Innai Red)
Izrin Ismail merupakan pengarah urusan Innai Group dan pengasas jenama Innai Red. Innai Red merupakan salah satu jenama kegemaran wanita bercitarasa tinggi memandangkan fabrik dan rekaannya yang elegan dan mewah.
Persalinan Innai Red sering menjadi pilihan ketika menghadiri acara formal mahupun di musim perayaan. Helaian jenama mewah ini juga kerap disarung oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman di majlis-majlis rasmi tempatan.
Alia Bastamam
Pengaruh Alia Bastamam dalam industri fesyen tanah air tidak kurang hebatnya! Rekaannya sentiasa digemari oleh golongan VIP serta wanita urban yang mementingkan kualiti fabrik dan gaya sophisticated.
Selain label Alia Bastamam yang dijadikan jenama utama, Alia turut menubuhkan jenama lain iaitu Alia B yang menawarkan koleksi ready-to-wear dengan harga mampu milik. Jenama berpengaruh ini juga menawarkan koleksi pakaian pengantin Alia Bastamam Bridal yang tentu sahaja menjanjikan persalinan mewah kepada raja sehari!
Demikianlah barisan lima pereka fesyen berprofil tinggi yang telah meraih kejayaan membanggakan. Semangat, azam dan usaha keras mereka wajar dijadikan contoh kepada generasi muda yang mahu menjinakkan diri dalam industri fesyen.
Topik apakah yang bakal dibincangkan dalam ruangan Gempak Spotlight pada minggu hadapan? Nantikan!