#GempakTop2020 : Masih Ingat Sugu Pavithra, ‘Agama’ BTS & Gelang Pink? Ini Antara Topik Paling Trending!
Tahun ini menyaksikan pelbagai perkara yang menjadi trending terutama ketika rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu.
Disebabkan ramai yang menghabiskan masa di rumah, banyak kegiatan yang telah menjadi ikutan sepanjang tahun ini.
Selain itu, terdapat juga beberapa kontroversi yang menjadi trending selama beberapa hari di media sosial baik membabitkan individu dalam negeri atau selebriti luar negara.
Gempak imbas kembali 10 perkara yang trending pada 2020!
#1 Dalgona Coffee
Menu ini berkemungkinan antara resipi yang paling banyak dicuba ketika PKP.
Mungkin masih segar di ingatan anda apabila majoriti media sosial dipenuhi dengan video menu ini.
Malah. resipi ini juga antara yang menerima carian tertinggi di Google.
Difahamkan, populariti minuman ini turut menyebabkan munculnya versi lain seperti Dalgona Milo yang turut tersenarai sebagai resepi kedua popular carian.
Tidak cukup dengan itu, ada juga produk minuman popular yang mengangkat Dalgona sebagai antara menu terbaharu mereka.
#2 Deko Rumah & Pokok Indoor!
Masih lagi di ‘era’ PKP, orang ramai ketika ini rancak memuat naik hasil dekorasi rumah sebelum dan selepas.
Pastinya ketika ini ramai yang mengambil inspirasi daripada dekorasi rumah yang viral.
Malah, pokok tanaman dalam rumah juga menjadi topik ‘hangat’ ketika ini.
Ada yang menjadi peminat pokok secara instant, tidak kurang juga yang cuba berjinak-jinak secara perlahan.
Trend ini juga memberi impak yang hebat terhadap pengusaha pokok.
Siapa boleh lupa apabila kedai pokok semuanya full house.
#3 Baju Ismail Sabri
Namun, dalam pada ramai menantikan pengumuman terbaru beliau, bajunya turut diperkatakan sehingga trending di media sosial.
Malah, ada netizen yang kreatif, menyunting gambar dan menyamakan corak baju Menteri Pertahanan dengan dengan kek lapis, agar-agar pelangi, kuih seri muka, jus tembikai, jus avocado dan pelbagai juadah lagi yang sinonim dengan masyarakat di negara ini.
Gambar tersebut viral hinggga dikongsi semula oleh menteri itu di laman Facebook rasmi miliknya.
#4 Lathi Challenge
Trend video Lathi Challenge ini mungkin antara yang paling kontroversi.
Malah, penyanyi asalnya, Sara Fajira juga terkejut apabila mengetahui lagu nyanyiannya kolaborasi bersama Weird Genius itu menjadi trending dan fenomena di beberapa buah negara.
Walaubagaimanapun, tarian Lathi dianggap sebagai satu bentuk pemujaan oleh sesetengah netizen.
Malah hukum seseorang melakukan Lathi Challenge atau Cabaran Lathi adalah haram dan berdosa menurut Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah.
Ini kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.
#5 Agama BTS
Berlaku sekitar Mei , dunia media sosial dikejutkan dengan kewujudan satu komuniti yang didakwa sebagai agama BBTS.
Difahamkan, isu ini berlaku apabila satu kumpulan di Telegram mewujudkan ruangan sembang sebagai Agama BTS.
Kumpulan diwujudkan oleh sekumpulan peminat yang begitu taksub dengan kumpulan K-Pop terkenal dunia itu.
Tambah mengejutkan, ruangan sembang iaitu disertai hampir 4,000 ahli yang dikatakan berasal daripada Indonesia dan Malaysia.
#6 Gelang Pink
Isu gelang pink mula diperkatakan ramai ketika pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketika ini orang ramai sangat marah sekiranya individu yang memakai gelang pink masih berdegil keluar rumah.
Ini terbukti apabila netizen mula mengamuk di media sosial berkaitan isu ‘makcik gelang pink’ serta kluster Sivagangga di Pekan Napoh Jitra.
Pantang ada kelibat gelang pink, maka semua akan ‘naik hantu’.
#7 Sugu Pavithra
Kisah pasangan suami isteri keturunan India ini menerima perhatian rakyat Malaysia selepas video masakannya yang ringkas di YouTube menjadi viral.
Bahkan, Sugu Pavithra juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaubagaimanapun, beberapa kontroversi yang terpalit menyebabkan kedua-dua pasangan ini seakan ‘merajuk’.
Malah, pasangan YouTuber masakan ini memberitahu tidak mahu mempunyai kaitan lagi dengan YouTube.
Mungkin agak berat untuk ‘dihadam’ oleh sesetengah peminat, namun itulah keputusan mereka yang patut kita hormati.
#8 Veveonah Mosibin
Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin mencuri tumpuan media sosial apabila memuat naik video YouTube dia memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.
Berbekalkan kelambu, dua telefon bimbit, powerbank, alat tulis serta nasi dan minuman, Veveonah berjaya menjawab dua kertas peperiksaan sepanjang berada di atas pokok itu.
Walaubagaimanapun, kisah gadis ini kemudian mencetuskan rasa marah rakyat Malaysia apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa rakaman video gadis itu memanjat pokok untuk mendapatkan signal internet, bagi menjalani peperiksaan atas talian, hanyalah gimik semata-mata.
Namun, Ahli Parlimen Padang Besar itu mengaku beliau tersilap, tetapi bertegas maklumat itu diperolehi daripada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga merupakan wakil rakyat di kawasan Kudat.
#9 Basikal Kayangan
Daripada artis hinggalah ahli politik, masing-masing tidak terlepas memuat naik gambar dan video sedang berbasikal.
Trend ini telah bermula sejak tahun lalu, namun sejak berakhirnya larangan merentas negeri, populariti sukan ini telah mencanak naik.Namun, dalam pada itu mengecapi populariti, sukan ini juga tidak lari daripada kontroversi apabila ada yang menunggang secara berbahaya.
Difahamkan, sebanyak 137 kemalangan membabitkan penunggang basikal direkodkan sejak Januari sehingga Oktober lalu dengan 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 lagi mengalami kecederaan ringan.
Isu ini menjadi serius, sehingga penunggang basikal diarah mematuhi setiap aspek keselamatan yang ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
#10 Darurat
Dengan jumlah sehingga lebih 25,000 ciapan di Twitter ketika itu, isu darurat secara tiba-tiba ‘meledak’ di platform media sosial.
Isu tersebut tercetus susulan tindakan Perdana Menteri yang dikatakan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.
Hampir kesemua ‘timeline’ di Twitter dipenuhi dengan perkataan darurat.
Ada yang cuba menjelaskan situasi yang sedang berlaku, tidak kurang juga yang terpinga-pinga mengapa darurat secara tiba-tiba trending.
Paling banyak dibincangkan adalah adakah darurat benar-benar perlu diisytiharkan? Adakah sebab COVID-19 atau kepenting politik semata-mata?
Semua itu telah menjadi topik paling trending ketika itu.