GAYA HIDUP
#GempakTravel - Transit Lama? 5 Lapangan Terbang Ini Menawarkan Jelajah Bandar Secara Percuma
Transit lama di lapangan terbang boleh menjadi perkara paling bosan dalam hidup ataupun satu penggembaraan menarik di bandar baru.
Ada beberapa lapangan terbang yang menawarkan jelajah bandar secara percuma buat anda yang mahu menghabiskan masa sebelum penerbangan seterusnya.
Jika anda bakal transit lama di enam lapangan terbang ini, anda boleh mendapatkan jelajah bandar secara percuma.
1. Singapura (Lapangan Terbang Antarabangsa Changi)

Jika anda terbang menggunakan Singapore Airlines ataupun Silk Air yang akan transit di Lapangan terbang Changi untuk ke destinasi pilihan, anda boleh mengisi masa dengan jelajah bandar Singapura secara percuma.
Antara kawasan yang boleh anda lawati adalah sekitar Marina Bay Sands, Merlion Park, Kampong Glam, Little India atau Chinatown.
- Masa transit diperlukan: 5.5 - 6 jam
- Tempat pendaftaran: Di Terminal 2, pergi ke kawasan transit di antara Skytrain dan Transfer Lounge F ke Terminal 3, berdekatan Arrival Immigration di tingkat 2. Jika anda sesat, anda boleh ke kaunter informasi terdekat.
- Jadual jelajah: Dua jelajah tersedia iaitu - City Lights Tour dan Heritage Tour. City Sights tour berjalan dua sekali sehari manakala Heritage tour empat kali sehari.
2. Taipei, Taiwan (Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan)

Antara destinasi bajet pilihan ramai serta aneka pilihan makanan halal enak, Taipei patut anda terokai.
Dengan jelajah bandar Taipei yang disediakan oleh pihak lapangan terbang secara percuma, anda bakal melawat pelbagai mercu tanda Taiwan antaranya Sanxia, Yingge, Dalongdong Temple atau menara ikonik Taipei 101.
- Masa transit diperlukan: 7 - 24 jam (maksimum)
- Tempat pendaftaran: Sebaik mendarat, anda boleh terus ke Tourist Service Center di lobi ketibaan Terminal 1 dan 2. Anda juga boleh mendaftar secara atas talian dengan mendaftar di sini.
- Jadual jelajah: Ada dua jelajah yang boleh dipilih - jelajah pagi (bermula 8.15 pagi) dan jelajah petang (bermula 2 petang).
3. Istanbul, Turki (Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul)

Salah satu tempat kegemaran bagi destinasi bajet, Istanbul menawarkan pelbagai variasi di dalam bandar indahnya.
Jelajah bandar di Istanbul boleh membuka mata anda apabila anda berkungjung ke Masjid Biru, Yedikule Fortress, Old Samatya Armanien District, Walls of Constantine dan pelbagai tempat menarik lagi. Namun, tawaran percuma ini HANYA untuk mereka yang terbang menaiki kapal terbang Turkish Airlines sahaja.
- Masa transit diperlukan: 6 - 24 jam (maksimum)
- Tempat pendaftaran: Daftar di Hotel Desk di balai ketibaan antarabangsa, yang terletak selepas pemeriksaan pasport dan kastam, satu jam sebelum jelajah bermula.
- Jadual jelajah: Ada lima jelajah yang berbeza yang boleh anda pilih. Kesemua menawarkan pelbagai pilihan tempat-tempat menarik terpulang pada kesesuaian masa anda transit. Jadual perjalanan dan tempat lawatan boleh disemak di sini.
4. Seoul, Korea (Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon)

Rugi kalau anda transit lama di Incheon tapi tak ambil peluang pusing-pusing di bandar Seoul.
Anda akan dibawa melawat mercu tanda ikonik Seoul antaranya Gyeongbokgung Palace, Insa-dong, Myeong-dong, Namdaemun Market dan pelbagai kuil. Jangan risau dengan kekangan bahasa kerana jelajah ini mengunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
- Masa transit diperlukan: 1 - 5 jam bergantung pada jelajah
- Tempat pendaftaran: Tempahan jelajah boleh dilakukan di Transit Tour Desks. Jika di 2F, meja ini terletak di hadapan pintu 25 dan 29 dan di 1F, meja ini terletak di hadapan pintu 8. Anda juga mendaftar secara dalam talian di sini.
- Jadual jelajah: Ada lapan jelajah yang boleh anda pilih! Dari jelajah kota, budaya, kuil, industri, membeli-belah dan sebagainya. Pelepasan adalah pada waktu pagi dan tengahari. Jelajah bandar hanya boleh digunakan bagi mereka yang berada di Terminal 1 dan 2 sahaja.
5. Tokyo, Jepun (Lapangan Terbang Antarabangsa Narita)

Jika anda transit lama di Lapangan Terbang Narita, ambil peluang untuk bersiar-siar di bandar Tokyo dengan perkhidmatan jelajah percuma ini.
Ada banyak benda yang anda boleh jelajah daripada terokai makanan Jepun, budaya dan tradisi Jepun serta bersiar-siar di pinggir bandar. Jelajah ini akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Namun anda perlu membayar sendiri kos transit awam ataupun bayaran masuk tempat lawatan.
- Masa transit diperlukan: 5 jam dan ke atas (setiap jelajah memakan masa selama 3 jam)
- Tempat pendaftaran: Anda boleh terus ke Narita Transit Tourism Counter di Terminal 1 atau 2 atau daftar secara atas talian di sini. Kaunter tersebut hanya dibuka dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.
- Jadual jelajah: Ada lapan tawaran jelajah yang boleh anda pilih, mengikut minat dan selera anda. Maklumat lanjut ada di laman web pendaftaran jelajah.