Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Genap 51 Tahun Dijemput Ilahi, Ini Karya Agung Tan Sri P Ramlee Yang ‘Mendunia’

Maliah Surip 29/05/2024 | 04:31 MYT
Memang jasad Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh atau nama pentasnya, P Ramlee sudah tidak lagi ada di dunia namun tidak ada pemerhati filem atau peminat berbilang bangsa dan pelbagai negara boleh menguburkan karya-karya ciptaan beliau.
Tanggal 29 Mei akan selalu dikenang sebagai tarikh berpulangnya figura seni Allahyarham P Ramlee yang sudah mengharumkan nama Malaysia di dunia.
Meninggal dunia secara mengejut pada usia 45 tahun, 29 Mei 2024 menjadikan usia kepulangan Allahyarham ke negeri abadi 51 tahun.
Meski sudah lebih lima dekad meninggal dunia, nama P Ramlee tetap agung dan tidak pernah gagal menjadi rujukan serta kebanggaan semua generasi.
Berikut antara karya agung dan epik yang tidak pernah ditelan zaman pernah dihasilkan P Ramlee.

MADU TIGA

“Butang baju abang mana, Pah”… Inilah sebaris dialog yang cukup ikonik sehingga membuatkan karya berjudul Madu Tiga ‘mendunia’.

Dialog tersebut diucapkan P Ramlee atau wataknya Abang Jamil kepada isteri pertama, Latifah yang tanpa sedar suaminya berpoligami bukan satu tapi dua wanita yang dikenalinya iaitu Hasnah dan Rohani.
Filem Madu Tiga telah diarahkan oleh P Ramlee pada tahun 1964.
Selain filemnya yang cukup menghiburkan, lagu runut dengan judul sama turut menjadi siulan.
Lagu Madu Tiga malah diulang semula dengan susunan muzik yang segar dan ‘nakal’ oleh komposer dan penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

BUJANG LAPOK
Bujang Lapok adalah satu jenama yang cukup ikonik pernah diciptakan oleh seniman agung ini. Ia merupakan naskhah komedi pertama yang diilhamkan oleh P Ramlee.
Ia menampilkan dirinya bersama dua aktor hebat iaitu Allahyarham S Shamsudin dan Allahyarham Aziz Sattar dengan nama Ramli, Sudin dan Ajis.
Ketiga-tiga karakter ini tampil dalam beberapa francais yang cukup mencuit hati termasuk yang pertama, Bujang Lapok yang dihasilkan pada tahun 1957.
Selain itu ada filem Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok yang juga menjadi naskhah kegemaran sepanjang zaman.

IBU MERTUAKU

Filem Ibu Mertuaku pertama kali dirilis pada tahun 1962 di Singapura.
Diarahkan oleh P Ramlee, watak yang paling mengesankan adalah Mak Dara yang cukup antagonis dengan karakter Nyonya Mansoor.
Ia mengisahkan seorang gadis daripada keluarga berada bernama Sabariah mencintai seorang pemuzik bernama Kassim Selamat.
Apabila ibu Sabariah, Nyonya Mansoor mendapat tahu akan perkara tersebut, dia begitu marah kerana Sabariah telah ditunangkan dengan Doktor Ismadi dan tambahan pula Kassim Selamat ialah seorang pemuzik yang dianggap tidak setaraf dengan kedudukan keluarga Nyonya Mansoor.
Dan apa yang paling mengesankan adalah bagaimana pekerjaan menjadi kasta dalam hubungan serta percintaan yang masih menjadi ‘kayu ukur’ kebanyakan masyarakat kini.

ANAKKU SAZALI

Allahyarham P Ramlee memainkan dua peranan dalam filem yang memaparkan kisah anak derhaka bernama Sazali dalam Anakku Sazali.
Memainkan watak Hassan dan Sazali (dewasa), filem ini diarahkan oleh Phani Majumdar dan diterbitkan pada tahun 1956.
Menerusi filem ini, nama P Ramlee harum di persana seni apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-4 pada 1957 di Tokyo, Jepun.
#P Ramlee #Bujang #Tan Sri P Ramlee #Madu Tiga #Karya Agung #Anakku Sazali #Ibu Mertuaku #Lapok
;