Viral
Genting Highlands Larang Konvoi Motosikal?
Malam tadi Gempak menerima satu video yang dirakamkan dan dihantar melalui aplikasi WhatsApp tentang larangan daripada pihak pengurusan Genting Highlands kepada konvoi motosikal.
Video berdurasi 50 saat itu memaparkan Polis Bantuan yang bertugas memberitahu bahawa pihak pengurusan Genting tidak membenarkan sebarang konvoi.
"Perhatian kepada group-group motosikal yang mahu ke Genting Highlands. Buat masa sekarang ni pihak management Genting Higlands tak benarkan mana-mana group konvoi motosikal, superbike atau motor kapcai atau kereta-kereta sports melalui atau berkunjung ke Genting Highlands.
Atas faktor-faktor ada group yang naik ke atas dah buat kecoh seperti eksoz bising, mengganggu customers dan lain-lain lagi," terangnya dalam video tersebut.
Tambahnya, dia tidak tahu sampai bila arahan tersebut akan terus dikuatkuasa, tapi akan diberitahu apabila mereka tidak lagi berada di situ.
Melalui perkongsian di media sosial juga, pada hujung minggu lalu pemandu dan penunggang motosikal yang ingin naik ke atas (Genting) diminta berpatah balik bila tiba di rumah pengawal untuk pengguna yang menggunakan lebuhraya Karak serta di pintu masuk belakang dari Bandar Ulu Yam.
Gempak cuba menghubungi bahagian perhubungan awam Genting Berhad, namun kemudiannya diminta menghubungi bahagian perhubungan awam Genting Malaysia.
Gempak juga turut berkongsi video yang disebarkan melalui Aplikasi WhatsApp bersama Pegawai Perhubungan Awam, Genting Malaysia, Deena Marzuki untuk mendapat komen daripada pihak Genting.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Genting Highlands mengenai isu ini.
Perlu diingat, jalan naik ke Genting Highlands merupakan jalan persendirian, dan menjadi hak pengurusan untuk memutuskan siapa yang dibenarkan atau tidak dibenarkan menggunakannya.
Kredit Gambar: Google