Gila Banyak! Cerai, Pemerintah Dubai Beri Jaminan Anak RM1.6 Bilion, Bayar RM3.06 Bilion Pada Bekas Isteri
Babak kes perbicaraan yang panjang di antara Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum dengan Puteri Haya Al Hussein akhirnya sampai ke kemuncak.
Baru baru ini sebuah mahkamah di London memerintahkan Sheikh Mohammed untuk membayar kira-kira 550 juta Pound Sterling (kira-kira RM3.06 bilion) sebagai penyelesaian kes perceraiannya.
Pembayaran tersebut perlulah dibuat kepada bekas isterinya yang juga merupakan adik beradik kepada Raja Jordan Abdullah 11 dan dua anaknya yang berusia 9 dan 13 tahun.
Beliau juga diarah membayar sebanyak 251.5 juta Pound Sterling (kira-kira RM1.4 bilion) secara sekali gus selain perlu menyediakan jaminan bank sebanyak 290 juta Pound Sterling (kira-kira RM1.61 bilion) untuk menampung nafkah anak-anak dan kos khidmat keselamatan mereka sebagai orang dewasa.
Sewaktu keputusan disebut hakim pada 21 Disember lalu, Sheikh Mohammed tidak hadir ke mahkamah.
Terdahulu wanita berusia 47 tahun tersebut melarikan diri dari Dubai ke London sekitar dua tahun lalu dan mendakwa bimbang dengan masa depan kehidupannya yang hidup dalam ketakutan.
Puteri Haya mendakwa dirinya diperlakukan dengan kasar termasuk berdepan ancaman penculikan anak anaknya dari Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berusia 72 tahun tersebut.
Menerusi laporan media, pesohor dunia itu sebelum ini sudah membayar elaun anak-anak bernilai 18 juta Pound Sterling (kira-kira RM100.46 juta) setiap tahun, 83 juta Pound Sterling (kira-kira RM463.2 juta) bagi perbelanjaan isi rumah dan sembilan juta Pound Sterling untuk perbelanjaan peribadi isteri keenamnya itu sebelum mereka berpisah secara rasmi.