Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Giliran Aisha Retno Hiasi Billboard Gergasi New York Times Square! - "Mama Adakah Saya Sedang Bermimpi?"

Shahrin Zulkifle 20/07/2022 | 12:00 MYT

Penyanyi Aisha Retno menjadi artis Malaysia ke tujuh untuk muncul di papan iklan digital tersohor dunia Times Square New York, Amerika Syarikat.

Detik gembira itu dikongsikan sendiri oleh penyanyi berbakat itu menerusi satu hantaran terbaru di laman Instagramnya siang tadi.

Menganggap hal itu seperti sebuah mimpi, Aisha atau nama aslinya Sharifah Aisha Retno Sipulijam, 22, meluahkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam kerjaya seninya.

"Mama adakah saya sedang bermimpi? Hello Billboard New York City! Terima kasih yang tidak terhingga kepada Spotifyasia atas peluang yang luar biasa sempena meraikan wanita untuk kempen EQUAL ini.

"Suatu penghormatan untuk menjadi duta EQUAL anda bulan ini mewakili Singapura & Malaysia.

"Sudah dua tahun kehadiran saya dalam industri dan ini adalah salah satu pencapaian terbesar dalam hidup saya setakat ini, alhamdulillah!

"Kepada pasukan @sonymusic_malaysia dan @aishalicious02 , anda semua tahu bahawa setiap daripada anda adalah permata!" tulisnya.

EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia sebagai dutanya.

Tambah pemenang tempat kedua rancangan nyanyian Big Stage 2022, dia berpesan kepada semua insan yang bergelar wanita untuk sentiasa bangga dan percaya kepada diri sendiri.

"Mari kita raikan semua wanita di luar sana terutamanya dalam industri muzik kerana kita sememangnya inspirasi kepada diri kita terhadap masa lalu, masa kini dan masa depan kita!

"Semoga kalian tetap percaya dengan diri anda sendiri dan jangan pernah hiraukan gurauan sinis yang menjatuhkan darjat anda sebagai seorang wanita,kerana kita adalah 'sutera' yang terlihat halus diluar tapi batinnya susah untuk dicerakinkan!

"Terima kasih atas sokongan anda kawan-kawan! Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi saya untuk berada di tempat saya sekarang tetapi anda adalah orang yang membuat saya terus maju," tambah Aisha.

Sebelum menutup penulisannya, Aisha memberitahu peminatnya untuk menantikan buah tangan terbaru darinya hasil ciptaaan komposer hebat, Waeremfmf.

Untuk rekod, penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza, Yuna dan Aina Abdul antara wajah yang pernah menghiasi papan iklan di bandar New York itu

A post shared by Sharifah Aisha Retno (@aisharetno02)

#Viral #Billboard #Spotify #Big Stage #Aisha Retno #New York
;