Hiburan

#GMWA23: Angkat Tema Y2K, Gempak Most Wanted Awards 2023 Raikan Barisan Pencipta Kandungan & Selebriti Digital

Izwan Isa
17/01/2024
09:55 MYT
Sponsor Banner
#GMWA23: Angkat Tema Y2K, Gempak Most Wanted Awards 2023 Raikan Barisan Pencipta Kandungan & Selebriti Digital

Konsep Y2K yang diangkat sebagai tema Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA23) dilihat selari dengan kembalinya trend tahun 2000 itu dari segi fesyen dan muzik di platform media sosial.

Ketua Kandungan Studio Astro, Syazwan Zakariah berkata, trend Y2K bermula sewaktu dunia digital berevolusi pada melenium baharu sehinggalah sekarang, seperti apa yang kita lihat pada masa kini.
“Kalau kita lihat data Google trends tahun lalu, antara perkara yang paling banyak pencarian sebenarnya adalah berkaitan Y2K. Tambahan pula, menerusi platform media sosial, TikTok misalnya, banyak pencarian dan hashtag tentang Y2K yang berhubung kait tentang fesyen, muzik dan gaya hidup.
“Jadi saya rasa tahun 2000 adalah tahun permulaan di mana bermulanya evolusi digital. Tahun lepas, kita persembahkan tema vibrant/aesthetic, jadi tahun ini, kita nak kembalikan era 2000 dan memilih konsep Y2K sebagai tema," katanya.
Syazwan berkata demikian pada Sidang Media GMWA23 - Pengumuman Calon Top 5 yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Menampilkan tema Y2K, GMWA 2023 akan mengimbas kembali era kebangkitan evolusi digital dari segi fesyen, muzik, dan gaya hidup.
Antara yang tercalon dalam senarai Top 5 GMWA23 termasuklah Amir Ahnaf, pelakon popular yang telah menambat hati ramai peminat dalam kategori Selebriti Digital Tergempak, bersama-sama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anna Jobling, Meerqeen dan Amir Masdi.
Runut bunyi filem pecah panggung, Polis Evo 3 yang dinyanyikan oleh Malique, Kmy Kmo, Aman Ra & Ernie Zakri bertajuk Ayuh, turut tercalon dalam kategori iaitu Lagu/Audio Tergempak, diikuti dengan single Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Pergilah Cinta (Danial Kifli), Test Drive (Firdaus Rahmat) dan audio Makcik Dodoi (@chemass_kaklong).
Pempengaruh yang terkenal dengan perkongsian masakan kegemaran rakyat Malaysia, Che Nom turut bersaing dalam kategori Digital Content Creator (Lifestyle) Tergempak bersama Amin & Abid Othman, Auntie Purple, Nelysa Norazlan dan juga Ow To The Zie.
Selain calon Top 5 GMWA23, majlis sidang media ini turut memperkenalkan barisan hos yang akan mengemudi malam anugerah. Amelia Henderson dan Sean Lee, selaku hos tetap program mingguan Gempak Most Wanted akan digandingkan bersama Zizan Razak dan Sherry Alhadad.
Undian calon Top 5 bagi setiap kategori boleh dilakukan di laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com bermula 17 Januari, jam 6 petang sehingga 25 Februari 2024, jam 12 tengahari. Pemenang setiap kategori akan diumumkan pada malam anugerah GMWA23 kelak.
Mengekalkan format yang sama seperti tahun sebelumnya, calon yang mendapat undian keseluruhan tertinggi daripada kesemua kategori akan dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Gempak Most Wanted 2023.
Selain itu, anugerah Gempak Hall of Fame juga diberikan kepada calon yang telah memberi impak yang tinggi kepada masyarakat berdasarkan undian daripada pengguna media sosial dan para peminat.
Malam anugerah GMWA23 akan berlangsung pada 25 Februari 2024 secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan On Demand.
Acara ini juga boleh ditonton di platform penstriman YouTube, Facebook dan TikTok Astro Gempak menerusi GMWA 2023 Live+. Acara kemuncak ini bakal menampilkan konsep Y2K, dengan kehadiran artis-artis ternama dan personaliti media sosial.
Acara berprestij GMWA23 akan dimeriahkan dengan persembahan daripada DOLLA, Akim & The Majistret, Aina Abdul, Khai Bahar dan kemunculan istimewa, diva Nusantara.
Acara kemuncak GMWA23 turut menampilkan segmen Sunsilk Moisture Boom di malam anugerah.
Satu kategori khas diwujudkan dengan nama Anugerah Next Level Rambut Tetap Boom!, di mana semua peminat berpeluang untuk mengundi kategori ini melalui laman web dan maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi rancangan mingguan Gempak Most Wanted pada bulan Februari kelak.
Untuk maklumat lanjut mengenai GMWA 2023, sila layari www. gempak.com.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar