Hiburan

Guna Jantung Babi Untuk Teruskan Hidup, Drama Si Jantung Hati Tampil Jalan Cerita Unik

Firdaus
15/01/2024
14:55 MYT
Sponsor Banner
Guna Jantung Babi Untuk Teruskan Hidup, Drama Si Jantung Hati Tampil Jalan Cerita Unik
Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk teruskan kehidupan, sungguhpun ia dilihat melawan norma dan nilai kemanusiaan.
Meletakkan subjek penggunaan jantung haiwan sebagai implant organ dalam badan manusia, drama bersiri Si Jantung Hati mempersembahkan sebuah penceritaan yang universal tentang prejudis dan isu kemanusiaan.
Pengarah Si Jantung Hati, Zainorhisyam Samudin (Wak Dol) berkata, mesej yang dibawakan menerusi drama ini merupakan satu mesej yang positif.
“Kita membawakan mesej tentang ikrar tentang penderma organ, sesuatu yang positif. Drama ini juga membawakan isu universal selain memutarkan isu cinta yang juga bersifat universal. Dalam masa sama, ia membawa isu kemanusiaan, judgemental serta prejudis.
“Pihak penulis skrip telah pun berjumpa pihak JAKIM serta IKIM. Kita tanya pendapat supaya tak terlalu create isu.
“Kita turut ambil langkah berjaga-jaga dan cuba menghasilkan drama perubatan yang tidak contra dengan fakta. Kami rujuk pihak doktor dan pakar jantung tentang isu ini,” katanya kepada Gempak.
Sepatutnya mengguna judul Si Jantung Babi, drama 10 episod ini berkisar tentang Amir yang berusia 23 tahun menerima berita buruk berkaitan hidupnya apabila jantungnya perlu digantikan dengan segera atau dia akan mati.
Akibat terdesak dan mahu menangguh kematian, Amir mengambil keputusan melakukan pemindahan jantung babi yang diperolehi melalui kawan lamanya.
Bagaimanapun, setelah bangun dari pembedahan, persoalan mulai timbul dalam diri Amir sama ada darah yang dipam dalam badannya menerusi jantung babi membuatkan tubuhnya menjadi haram? Drama bersiri Si Jantung Hati bakal menemui penonton pada Februari depan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar