Laman Utama
“Guna Media Sosial Untuk Berdakwah, Tegur Dengan Lembut & Berhemah…Ikut Trend Yang Disukai Anak Muda…” – Ustaz Mohd Ashraf Suarin
Pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin berkata, tidak ada salahnya jika pendakwah menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan perkara kebaikan.
Katanya, pendakwah bertanggungjawab untuk membawa umat Islam ke jalan kebenaran dengan memperluaskan lagi gerakan dakwah mereka.
“Sebelum ini saya menulis buku, memberi motivasi kepada pelajar sekolah dan remaja bermasalah. Untuk mendekatkan diri dengan anak muda, kita perlu ikut trend yang mereka suka.
“Ini juga mendorong mereka melayari media sosial untuk perkara yang berfaedah. Para pendakwah tidak lagi boleh terlalu formal tetapi perlu berfikiran dan bersikap terbuka.
“Sekarang pun semakin ramai ustaz berdakwah menggunakan Tik Tok. Pendakwah juga bukan penghukum tetapi sebagai ‘jurupandu’ kepada mereka.
“Ramai di antara kita tidak faham konsep dakwah yang sebenarnya dengan terus menjatuhkan hukuman. Tegurlah dengan lembut dan berhikmah namun masih dalam ketegasan,” katanya.
Dalam pada itu Ustaz Mohd Ashraf turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai kemusykilan atau ingin membuat luahan, menghubungi beliau menerusi program Zayan Hujung Minggu.
Beliau kini bersiaran secara langsung di Zayan (Zayan FM) pada Sabtu bermula jam 1 tengah hari hingga 6 petang dan Ahad, dari jam 6 pagi hingga 11.30 pagi menerusi program berkenaan.
Ustaz Mohd Ashraf berkata, kandungan program itu adalah sentuhan hati dengan mendengar luahan rasa daripada pendengar.
“Cabaran hidup yang terpaksa kita lalui hari ini tanpa adanya sokongan akan melemahkan semangat dan tidak mustahil tanpa berfikir panjang akan bertindak di luar dugaan.
“Jadi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, kembalilah kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan sunnah yang menyediakan panduan lengkap untuk kehidupan di dunia dan akhirat,” katanya.
Tambah Ustaz Mohd Ashraf lagi, cara berdakwah perlu dipelbagaikan agar ia kekal relevan untuk
mendekati pelbagai kelompok masyarakat.
“Walaupun berdakwah secara konvensional dengan memberi ceramah di surau dan masjid masih menjadi platform utama, namun perlu ada alternatif atau usaha lain untuk menyebarkan nilai murni kehidupan beragama kepada seluruh umat Islam terutama kepada generasi baru.
“Golongan ini lebih tertarik dengan kandungan kreatif, maka perlunya pendekatan dakwah yang lebih santai dan interaktif.
“Contohnya dengan menggunakan media massa seperti radio dan televisyen termasuklah media sosial seperti Facebook, Instagram, Twiter dan yang sedang ‘hangat’ iaitu Tik Tok,” katanya.
Beliau yang juga pengetua Pondok Hamlatul Quran (PMHQ), turut mengambil inisiatif mencari dana untuk menampung berpuluh anak yatin dan golongan asnaf yang diasuh untuk menjadi penghafaz al-Quran dengan menjual beras.
Ustaz Mohd Ashraf berkata, dia terfikir idea untuk menjual paket beras tempatan menggunakan jenama 'Ashraffi' memandangkan pusat kebajikan dan pendidikan itu memerlukan sekitar RM40,000 sebulan untuk meneruskan operasi.
PMHQ diuruskan pusat pengurusan Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi bertapak di Tanjung Karang, Selangor, ditubuhkan pada Mac 2013 dan terbuka kepada remaja serta kanak-kanak yang mempunyai keinginan untuk mendalami al-Quran.
Selain itu, beliau juga mengusahakan perniagaan minuman iaitu Kopi Vietnam dengan membuka kiosk Ngopi Ashraffi, terletak di Pondok Souq, Meru.