GV9: Tak Perlu Bedah, Jaclyn Victor Lega Ada Alternatif Lain Tangani Masalah Hidung Bengkok - “Cuma Apabila Saya Kurang Rehat…”
Selain pembedahan, penyanyi Jaclyn Victor diberi alternatif lain iaitu ubat penyembur hidung (nasal spray) bagi membantu menangani masalah hidung bengkok yang dialaminya.
Lega dan bersyukur tahap kesihatan semakin bertambah baik, suara peserta Gegar Vaganza 9 (GV9) ini juga kini tidak lagi kedengaran seperti ‘selsema’ ketika membuat persembahan.
“Saya pun dapat rasakan vokal saya tidak kedengaran seperti kurang sihat seperti sebelum ini. Memang penyelesaiannya adalah pembedahan namun memakan masa untuk pulih memandangkan saya sedang bertanding.
“Oleh itu, doktor memberikan alternatif iaitu ubat penyembur yang mampu melegakan saluran hidung. Lebih selesa jika dibandingkan dengan sebelum ini yang kedengaran seperti selesema.
“Cuma apabila saya kurang rehat dan sebagainya, penyakit sinus itu seperti datang kembali. Jadi saya perlu ‘alert’ supaya kesihatan berada dalam keadaan baik,” kata Jaclyn.
Terdahulu, Jaclyn mendedahkan dia mempunyai masalah hidung bengkok yang memberi kesan kepada suara dan nyanyiannya.
Sementara itu, Jaclyn turut mengakui sejak kebelakangan ini hidungnya menjadi terlalu sensitif terhadap persekitaran.
"Hidung saya memang terlalu bengkok tetapi selama ini tidak mempunyai masalah.
"Bila saya membuat pemeriksaan, doktor memberitahu hidung saya terlalu sensitif kepada persekitaran seperti asap rokok, vape, habuk dan tidak boleh sejuk,” katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!