Laman Utama
Gwen Stefani Tetapkan Syarat! Takkan Kahwin Blake Shelton Kalau...
Seperti diketahui ramai, penyanyi popular Hollywood, Gwen Stefani sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama juri tetap program The Voice, Blake Shelton.
Memetik laporan Celebrity Insider, Gwen telah meletakkan syarat untuk melangsungkan perkahwinannya itu.
Menurut Gwen, tidak kira apa jua situasi yang berlaku, dia tidak akan berkata 'I do' jika ibu bapanya, Dennis dan Patti tidak berada di lokasi majlis untuk menyaksikan hari bahagianya itu.
Apabila ditanya oleh Ryan Seacrest dalam satu temu bual sama ada Gwen lebih selesa mengadakan majlis kecil-kecilan ekoran pandemik COVID-19, penyanyi berbakat ini merasakan apa yang penting hanyalah kedatangan ibu bapanya sahaja.
"Saya hanya mahu ibu bapa saya datang ke majlis kami, mereka tidak datang untuk Thanksgiving kerana mereka takut akan wabak ini.
"Jika kami hanya mengundang ahli keluarga sahaja sekalipun, ia masih satu jumlah yang agak besar untuk menghadiri majlis ketika pandemik ini," katanya.
Dalam pada itu, Gwen juga mengatakan dia dan Blake akan menunggu masa yang sesuai untuk melangsungkan hari bahagia.
"Kami akan lihat bagaimana keadaan dalam beberapa bulan mendatang," katanya lagi.
Terdahulu, Gwen dan Blake melangsungkan pertunangan pada Oktober selepas lima tahun menyulam cinta.
Difahamkan, pasangan ini tidak terburu-buru untuk berkahwin kerana merasakan hubungan mereka sudah cukup bahagia dan sempurna.
Sumber : Celebrity Insider