Hadir Ke Mahkamah Dalam Keadaan Ceria, Diana Danielle Harap Proses Cerai Tak Berpanjangan - “Selagi Kita Boleh Senyum…”
Dengan senyuman yang ceria serta mengenakan busana serba hitam, Diana hadir bersama peguam syarienya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Kata Diana, dia menyerahkan semuanya kepada keputusan mahkamah dan mengharapkan yang terbaik.
“Saya berserah sahaja saya hanya harap yang terbaik untuk kedua pihak saya rasa kalau proses panjang (penceraian) tidak perlu. Selagi kita boleh senyum kita senyum lah ya,” katanya kepada Gempak.
Manakala, Akberdin pula berkata permohonan itu dibuat susulan tiada persefahaman.
“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudian,” katanya.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.
Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah mendakwa sega janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak pernah tertunai.
Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, dalam satu temu ramah baru-baru menyifatkan kemelut rumah tangga dengan Diana hanya perselisihan faham yang sangat kecil.
Dalam masa sama, Farid menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian malah bersedia memberikan komitmen terhadap proses yang bakal didepani kelak.
Difahamkan, Farid berada di lokasi penggambaran tatkala Diana meluahkan hasrat tersebut menerusi satu hantaran dalam media sosial.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun, kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun.