Hiburan
Hafiz Mahamad Terkandas Dalam Banjir, Ramai Hulur Bantuan - "Bagi Pampers, Susu & Sewa Homestay"
Instafamous dan usahawan terkenal Hafiz Mahamad, 28, mendedahkan dia dan keluarga terkandas dalam banjir di Kuala Lipis, Pahang, semalam.
Menurut Hafiz, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kelantan.
"Saya dari Kelantan ke Kuala Lumpur, saya bergerak jam 10.30 pagi tadi. Sampai Kuala Lipis, macam-macam berita saya dengar. Orang kata Raub jalan banjir dan tutup.
"Saya teruskan perjalanan sebab Raub depan tu ja, nampak dah kiri kanan rumah semua tenggelam. Hati pun alamak, risau dah. Sampai kawasan Jeruas, saya nampak jalan depan dah stuck, saya nak pusing balik singgah masjid kawasan situ nak jamak sekejap.
"Habis solat, saya nak patah balik ke Kuala Lipis. Nah, banjir juga! Menghala ke Raub banjir, nak patah balik pun banjir. Saya sangkut dekat tengah-tengah kawasan Jeruas," tulisnya di Instagram (IG).
Tambah Hafiz, detik lebih merisaukan apabila bekalan susu dan lampin pakai buang anak perempuanya, Raisya Narisa tidak mencukupi.
Walaubagaimanapun, suami kepada Syafiqah Aina ini bersyukur kerana selepas dia melakukan siaran langsung (live) di IG, dia didatangi individu-individu yang ingin menghulurkan bantuan.
"Check susu dan pampers (lampin pakai buang) anak. Susu tinggal sikit dan pampers tinggal 1. Menggelibas lah saya! Cari kedai kawasan situ banyak tutup dan tak ada air aduh.. Saya risaukan anak, takut dia lapar.
"Bila malam, saya dah mula risau dah tapi memang tak boleh nak buat apa apa. Turn on live sebab ramai tanya update dari saya, tengah buat live tiba tiba ada akak datang 'offer pampers' dan ada abang datang 'offer susu'. Ya Allah!!! Cepatnya Allah bantu.
"Mereka baik sangat, sampai je Kuala Lumpur nanti. Muka akak dan abang ni saya takkan lupa. Saya nak jumpa mereka insya-Allah. Harini mereka tolong kita, esok esok kita tolong mereka!
"Saya masih di Kuala Lipis lagi. Tidur dalam kereta sebab semua hotel dan homestay penuh. Semoga esok semuanya okay.
"Siapa yang dari pantai timur nak balik ke Kuala Lumpur. Relax dulu, tunggu semua reda baru balik tau," tulisnya lagi.
Menerusi posting terbaru, Hafiz memaklumkan dia sekeluarga menginap di sebuah homestay buat sementara waktu memandangkan masih belum boleh meneruskan perjalanan.
"Dalam bandar pun air banjir naik. Harap petang ni dah surut. Ya Allah, yang mana terkandas dengan macam saya, jaga diri baik-baik tau," katanya di Instagram Stories.