Laman Utama
Hafreez Adam Masih Laku Jadi Hero Drama, Muncul Dalam 'Derita Untuk Bahagia'!
Pelakon Hafreez Adam bersyukur masih diberikan peluang sebagai hero drama rantaian terbaharu Derita Untuk Bahagia yang sudah memulakan tayangan sejak Isnin.
Kata Hafreez, biarpun berdepan dengan persaingan pelakon sedia ada dan pendatang baharu, Hafreez berpegang pada prinsip disiplin dan semangat untuk belajar.
"Saya bersyukur masih diberi peluang untuk terus memainkan watak utama dan penting dalam naskah-naskah yang diberikan.
"Untuk saya, bila dah berada dalam bidang ini, keutamaan adalah disiplin dan keinginan untuk belajar serta lebih maju.
"Pendatang baru bagus untuk lebih memeriahkan industri. Orang pun tak akan bosan tengok muka yang sama. Tapi terapkan disiplin yg tinggi dan menghormati, supaya orang akan sentiasa suka bekerjasama dengan kita," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Hafreez percaya bakat dan fizikal perlu seiring bagi meningkatkan nilai seseorang pelakon.
"Honestly. Dua dua memainkan peranan yang penting. Dua dua kena seiring," tambahnya.
Derita Untuk Bahagia mengisahkan kehidupan gadis yang rajin dan yang membesar dalam keadaan yang penuh dengan cabaran bernama Alisha.
Bbapanya kaki pukul manakala ibunya membanting tulang membesarkannya. Alisha bijak dan pandai berdikari untuk mencari wang. Suatu hari Alisha dikejutkan apabila sedar yang dia bukanlah anak kandung ibunya.
Pergolakan berterusan apabila Alisha cuba mahu mencari keluarga kandungnya. Pertemuan Alisha dengan Danial dan Raif juga telah membibitkan situasi cinta tiga segi antara mereka semua, namun hubungan cinta Alisha ditentang sehingga dia menemui kebenaran. Berjayakah Alisha menemui bahagia dan cinta selepas melalui kehidupan yang sukar, ditambah dengan masa silam keluarganya yang kini menghantuinya?
Drama ini dilakonkan oleh Azar Azmi, Hafreez Adam, Amar Baharin, Dayang Areeda dan ramai lagi.
‘Derita Untuk Bahagia’ bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 Jun 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.