Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Haiza Kerah Tenaga Bahagi Masa Antara Kerjaya & Anak

Kamaruddin Razal 14/03/2017 | 09:29 MYT
Penyanyi dangdut Haiza mengerah tenaga untuk mencari rezeki dan pada masa yang sama, turut memberikan tumpuan kepada anaknya, Nur Iman Syafie.
Bekerja sebagai penyampai radio dan penyanyi, Haiza juga turut memenuhi undangan sebagai pengacara majlis.
"Saya lakukan banyak kerja dalam satu masa kerana bagi saya semuanya adalah rezeki. Selagi terdaya, saya dan suami akan mengerahkan tenaga muda untuk masa depan keluarga dan anak.
"Walaupun kadangkala saya merasai kepenatan itu, saya bersyukur kerana rezeki yang datang tidak pernah putus untuk saya dan keluarga, Alhamdulillah," kata Haiza kepada Astro Gempak.
Menetapkan hari minggu sebagai hari untuk anak, Haiza akan membawa anak dan suaminya jika ada tawaran persembahan di luar Lembah Klang.
"Jika tiada sebarang tawaran nyanyian pada hujung minggu, saya akan menghabiskan masa dengan anak. Namun begitu, jika ada tawaran, saya akan membawa anak ke sana.
"Selalunya, jika ada tawaran persembahan di luar kawasan Kuala Lumpur, penginapan akan disediakan dan persembahan tersebut akan berlangsung pada satu malam sahaja.
"Selepas persembahan tamat, saya akan sambung untuk menginap di situ satu malam lagi. Secara tidak langsung, saya membawa anak saya bercuti," katanya ketika ditemui di Majlis Lepak Santai Hot FM dan Kool FM baru-baru ini.
Haiza dan AG bersiaran di Kool FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 hingga 10.00 pagi menerusi segmen Pagi Hari Di Kool.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Haiza #Kool FM
;