Berita
Hans Isaac Bersama Lima Selebriti Berentap Di Litar Lumba
Program realiti automotif terbitan asal HISTORY Asia yang pernah memenangi anugerah, Celebrity Car Wars kembali dengan musim ketiga menampilkan enam selebriti dari seluruh Asia bersaing untuk menjadi pelumba terbaik di litar lumba.
Pelakon popular, Datuk Hans Isaac muncul sebagai peserta dari Malaysia yang menyahut cabaran bersama pelakon dan pelawak, Munah Bagharib dari Singapura dan Diego Loyzaga yang juga seorang pelakon dan anak kepada pelakon terkenal Teresa Loyzaga.
Tidak ketinggalan, Xian Lim yang merupakan seorang pelakon, model dan penyanyi berdarah kacukan Amerika-Filipina; Matthew Deane adalah pelakon, penyanyi, dan model berdarah kacukan Thai-Australia bersama isterinya, Lydia Sarunrat yang dikenali sebagai penyanyi R&B, aktres dan personaliti media sosial dari Thailand.
Pengarah Urusan A+E Networks Asia, Leena Singarajah berkata, HISTORY dan Caltex berkongsi nilai dan komitmen yang sama dalam mempromosi dan memajukan dunia automotif.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dan melancarkan Celebrity Car Wars sebagai acara utama bagi multimedia global HISTORY, ‘Car Week’ yang akan membawa siri-siri terbaik dan rancangan istimewa dunia automotif untuk penonton di Asia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dihoskan Bobby Tonelli bersama mentor jemputan terdiri daripada pelumba-pelumba kereta profesional iaitu Gaby dela Merced dan Michele Bumgarner, mereka bekerjasama dalam membimbing selebriti sepanjang lapan minggu.
Menariknya, kali ini penonton akan menyaksikan lebih banyak cabaran-cabaran sengit termasuk perlumbaan di tempat pembinaan, perlumbaan 'drag' di Binalonan Airfield WCC, dan persaingan untuk mengubahsuai kereta.
Atas permintaan ramai, cabaran-cabaran daripada musim terdahulu turut ditampilkan antaranya, perlumbaan Jeepney, perlumbaan secara terbalik (gostan), perlumbaan 4X4 di dalam hutan sepanjang Sungai Sacobia di Pampanga dan dinding batu bata yang juga perlu dihadapi selebriti.
Bagi menghangatkan lagi persaingan, musim terbaharu Celebrity Car Wars turut membawakan pesaing-pesaing daripada musim lepas, Marc Nelson and Phomela Baranda yang bertanding dalam perlumbaan 'drag'.
Selebriti Dominic Lau pula membuat kemunculan istimewa dan menjadi juri jemputan dalam cabaran bola sepak-kereta.
Buat pertama kalinya, dalam musim ini juga memperkenalkan papan markah secara langsung yang membolehkan peserta melihat markah masing-masing.
Musim Ketiga Celebrity Car Wars akan mula ditayangkan pada 9 September ini di HISTORY Asia (Saluran ASTRO 555 dan 575 HD), setiap Ahad jam 9.55 malam.
Teks oleh: Elrafaei Sapi