Berita
"Hantu Buluh Tu Kisah Benar Saya Dan Kawan-Kawan" - Penulis Drama Audio SYOK Remang Buka Cerita, Seramnya!
Penulis drama audio siri SYOK Remang, Rosie Haslinda Nasir mengakui bahawa salah satu daripada episod cerita yang ditampilkan kepada pendengar merupakan daripada kisah benar.
Menurut Rosie, kisah tersebut diinspirasikan daripada pengalaman dirinya sendiri bersama rakan-rakan ketika berada di sebuah hutan di Perak sewaktu masih menuntut di universiti.
"Bagi episod pertama yang berjudul Hantu Buluh Hutan Kuala Boh itu sebenarnya kisah benar, kisah saya sendiri.
"Ketika itu saya bersama kawan-kawan ke Hutan Kuala Woh, tetapi ditukar tajuknya menjadi Kuala Boh.
"Apabila saya kongsikan di Facebook, rupanya dapat banyak respons daripada kawan-kawan pengajian dulu yang mereka tahu itu sebenarnya cerita kami," katanya kepada Gempak.
Selain mengangkat kisah benar, menurut Rosie, ada juga episod dalam SYOK Remang itu sekadar fiksyen sahaja.
Namun, katanya, idea jalan cerita itu banyak dibantu oleh rakannya, penerbit dan pengarah, Hakimi As'ari.
"Sebenarnya, saya tidak ada pengalaman dalam genre seram, tetapi banyak dibantu oleh Hakimi.
"Lagipun, katanya, genre yang paling diminati dalam kalangan pendengar nusantara adalah genre seram, jadi, dia datang beri beberapa rujukan kepada saya," katanya.
Biarpun mengangkat kisah seram, namun, tambah Hakimi, dia turut menyelitkan unsur-unsur nasihat dan pengajaran buat pendengar.
"Sebenarnya podcast sebegini juga salah satu inisiatif untuk kita belajar bahasa. Ini kerana, laras bahasa Melayu yang digunakan sangat indah.
"Pada masa sama, kita selitkan pengajaran dan juga surah-surah yang boleh diamalkan dalam setiap episod," katanya.
Siri SYOK Remang menampilkan lima episod berjudul Hantu Buluh Hutan Kuala Boh, Bahana Memakai Susuk, Misteri Janin Menangis Di Rumah Sewa No. 43, Bertemu Dengan Saka Harimau dan Diganggu Penunggu Hotel.
Siri tersebut sudah boleh dilayari menerusi aplikasi SYOK setiap Khamis.