Hiburan
"Hanya Fikirkan Perkara Yang Buruk Boleh Terjadi .." - Syanie Hashim Selamat Jalani Pembedahan Buang Rahim & Ovari
Pelakon dan pelawak Syanie Hisham meluahkan rasa syukur selepas selamat menjalani pembedahan membuang rahim dan ovari pada 29 April lalu.
Menerusi entri di Instagram (IG)nya, Syanie menyatakan ini bukan pembedahan yang pertama pernah dilakukan namun perasaan takut tetap membelenggu diri.
"Pada 29 April lalu, saya telah menjalani pembedahan rahim dan ovari yang saya sendiri tak pernah terfikir akan melaluinya.
"Terdapat masalah pada ovari dan uterus saya yang perlu dibuang.
"Pembedahan yang disangka mengambil masa tiga jam hanya selesai dalam masa tujuh jam dan berada di ICU dalam keadaan baik.
"Bagaimanapun, dengan usia dan saiz begini, saya sangat takut dengan apa yang bakal berlaku. Ya, saya mungkin telah menjalani banyak pembedahan berbanding orang lain.
"Mungkin ada yang terfikir saya sudah terbiasa dengan situasi begini tapi percayalah, kali ini ia sangat berbeza.
"Fikiran saya ketika itu bercelaru dan hanya fikirkan perkara yang buruk boleh terjadi," tulisnya.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal menerusi filem Lagi-Lagi Senario tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih terutama kepada keluarga yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan.
"Syukurlah saya mempunyai keluarga terutama adik perempuan saya Ayin yang asyik marahkan saya (cara dia menunjukkan seolah-olah dia kuat walaupun saya tahu dia juga retak di dalam) dan menyuruh saya untuk berfikiran positif dan sentiasa ingat pada Allah SWT.
"Saya mempunyai ibu saya, yang tentu saja menangis setiap kali kami bercakap mengenai pembedahan dan semua perkara tetapi satu-satunya perkara yang membuat saya sebak adalah ketika dia berkata, 'Syanie, wang boleh dicari tetapi saya tidak akan jumpa anak perempuan lain jadi jangan sedih dan sentiasa ingat Allah, zikir dan selawat.
"Tak lupa juga adik beradik yang lain serta ipar duai. Semuanya mempunyai cara mereka sendiri untuk menunjukkan perasaan sayang dan memastikan saya berasa selesa.
"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan terus menyokong saya, kepada doktor-doktor yang saya anggap seperti hero, keluarga kerana menyayangi, menjaga dan menyakinkan saya.
"Terima kasih Ya Allah untuk 'timeline' baru yang Engkau berikan. Saya berdoa dan berharap agar ia menjadi sesuatu yang lebih baik. Insya-Allah," tulisnya lagi.