Laman Utama
Hanya RM200 Untuk 2 Hari, Nikmati 24 Pemuzik Dari Tiga Negara Sampai ‘Pengsan’ Di NUSA FEST
Festival julung kali yang menggabungkan tiga negara ‘sebumbung’ Nusantara, NUSA FEST menghitung hari untuk dilaksanakan pada 8 dan 9 Julai ini.
Membariskan 24 pemuzik handal dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, festival yang turut dipenuhi aktiviti lain seperti Warong Nusa dan Pasar Nusa ini akan memberi kepuasan maksimum bukan sahaja daripada segi pengisiannya tetapi bayaran yang dikenakan sangat berbaloi.
Shiraz Projects mengumumkan tiket masuk untuk dua hari ke festival tersebut hanya berharga RM200 berbanding RM360 seperti yang diwar-warkan sebelum ini.
“Saya rasa RM200 sangat murah dan berbaloi untuk hadir ke festival yang bukan hanya menghidangkan hiburan tetapi ada makanan dan seni serta kraftangan yang semuanya mempunyai pengaruh Nusantara,” ujar Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shiraz pada sidang media memperkenalkan tiga headliners NUSA FEST di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.
Antara 24 pemuzik yang akan mengisi dua hari festival yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi itu termasuklah Search, Wings dan Butterfinggers yang menjadi headliners di NUSA FEST.
Pemuzik lain yang bakal beraksi dan pasti mempunyai kelompok peminat sendiri adalah seperti Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, The Changcuters dan Burgerkill (Indonesia), Kugiran Masdo, Salammuzik, Gerhana Skacinta, Monoloque, Forcparkbois, Jemson dan Budak Nakal Hujung Simpang dari Malaysia dan The Pinholes dari Singapura.
Sementara itu, Shiraz tidak berselindung jika penjualan tiket agak perlahan.
“Saya harus akui tiket memang agak perlahan tapi kami percaya dengan pengumuman tiga line up terakhir dan budaya membeli pada saat akhir, NUSA FEST akan mendapat sambutan,” katanya optimis.
Tiket berharga RM200 untuk dua hari atau RM700 untuk empat orang boleh dibeli menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian 03 8605 0196.
Untuk sebarang info hubungi talian hotline 012 256 0082 atau layari laman web www.nusafest.com dan www.shirazprojects.com.