“Harap Pelaku Penderaan Bella Dapat Hukuman Setimpal” - Zuraida Mahu Bella Dapat Pembelaan Sewajarnya
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berharap pelaku yang melakukan penderaan terhadap remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella mendapat pembelaan sewajarnya.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, Zuraida menyifatkan tindakan kejam terhadap remaja berusia 13 tahun itu wajar mendapat hukuman setimpal.
“Saya mengikuti perkembangan kes membabitkan Bella, seorang remaja sindrom down berusia 13 tahun yang dipercayai telah didera oleh individu tidak berperikemanusiaan.
“Tular di laman sosial, sebuah rakaman video memaparkan kesan luka dan kecederaan yang telah dialami oleh Bella.
“Kesan penderitaan Bella akibat didera dalam paparan video tersebut sangat menyayat hati dan meruntun jiwa.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga amat terkesan melihat paparan video dan foto-foto yang menunjukkan nasib malang remaja kelainan upaya ini.
“Saya berharap pelaku yang bertindak melakukan penderaan terhadap Bella mendapat hukuman yang setimpal dan anak syurga ini terus mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Zuraida juga turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan rakyat Malaysia.
“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin dan peka terhadap keadaan sekeliling.
“Sehingga kini saya difahamkan warganet menggunakan #JusticeforBella bagi terus memberi kesedaran kepada semua pihak. Semoga usaha ini beroleh kejayaan.
“Saya mendoakan adik Bella lekas sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan kembali ceria,” ujarnya.
Terdahulu, nasib anak Down Syndrome, Bella, yang tular kerana didakwa telah didera hingga meninggalkan kesan luka yang teruk pada tubuh oleh pengasas rumah kebajikan yang dikenali sebagai Rumah Bonda akhirnya bakal terbela.
BACA: Kes Dera Anak OKU, #JusticeForBella: Rumah Kebajikan Disita & Hilang Hak Jagaan
Rumah Bonda telah disita dan dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella, melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu.