Laman Utama
Hargai Kerja Keras Frontliner, Ara & Peminat Pakat Masak Daging Salai - "Apa Yang Kami Bagi Tak Setanding Dengan Jasa Mereka"
Penyanyi Ara Johari, 23, mendedahkan idea untuk memberi makanan kepada barisan hadapan (frontliner) datang daripada kelab peminatnya, Arasquad.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie berkata Arasquad telah mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan untuk memasak daging salai.
"Idea itu daripada team Arasquad sendiri, mereka kumpul dana untuk bagi makanan kepada semua frontliner. Tugas saya beli barang, masak dan kemudiannya hantar kepada frontliner yang tengah bertugas.
"Itu adalah salah satu cara kami berterima kasih kepada semua frontliner yang dah membantu semua rakyat Malaysia," katanya.
Tambahnya, sebanyak 160 pek telah diagihkan kepada enam tempat Sekatan Jalan Raya (SJR) pada Ahad.
"Kami mula agih makanan dalam pukul 4 petang sampai 8 malam macam tu. Disebabkan sekarang tengah total lockdown, saya hantar sekitar daerah saja.
"Kami sediakan 160 bungkusan pada hari itu, dalam enam SJR yang kami pergi.
"Bagi makanan yang lebih kami sedekahkan kepada penghantar makanan yang tengah bertugas juga. Jadi, tak membazir makanan tu," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bunga mengucapkan terima kasih kepada Arasquard yang bermurah hati berkongsi rezeki.
Malah, dia berasa gembira kerana dapat menyumbang tenaga bagi menghargai frontliner yang telah bertungkus lumus bekerja sepanjang penularan Covid-19.
"Sejujurnya saya rasa gembira sebab dikurniakan penyokong yang sangat baik hati untuk berkongsi rezeki. Bertambah seronok bila anggota polis suka dengan makanan yang diberikan.
"Bagi saya, apa yang kami bagi tak setanding dengan jasa yang mereka bagi kepada rakyat Malaysia. Saya harap mereka terus berjasa kepada rakyat dan negara," katanya lagi.