Laman Utama
“Hari Ini, Saya Tak Mampu..” - Bacakan Khutbah Nikah Untuk Anak, Dr. Zulkifli Al-Bakri Menitiskan Air Mata
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitiskan air mata sewaktu membacakan khutbah nikah buat anak lelakinya, Mohammad Hasanain bersama pilihan hatinya, Nur Azzlina Nabilah Abdul Aziz.
Menerusi laman sosial Facebook, beliau berkongsi momen tersebut untuk tatapan umum.
“Khutbah nikah, tulus ikhlas daripada hati abah. Moga Hasanain dan isteri, berbahagia hingga ke syurga.
“Biasanya khutbah nikah saya boleh lancar. Oleh kerana anak saya sendiri pada hari ini, saya tak mampu..” ujarnya sebak.
Dalam pada itu, Dr. Zul turut menitipkan pesan untuk anak lelakinya melayari bahtera rumah tangga agar sentiasa aman bahagia.
“Anakku, setiap pasangan yang berkahwin bertekad untuk mendapat kebahagiaan. Tetapi hakikat tidak ramai yang dapat mengecapinya.
“Ramai yang ingin menawan hati pasangan tetapi lupa yang hati itu hakikatnya milik Pemilik Segala Hati dan Cinta iaitu Allah SWT.
“Dalam bahagia ada ujian. Itulah sunatullah yang mematangkan dan menguatkan ikatan kasih. Selamat melayari alam rumah tangga,” tulisnya lagi.
Sementara itu di ruangan komen, perkongsian tersebut mendapat perhatian wargamaya yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak mereka terhadap momen tersebut.
“5 minit yang cukup bermakna, yang mungkin terpahat di hati anak buat masa yang lama,” komen seorang wargamaya.
“Allahuakbar, sekadar tonton video ni pun turut rasa sebak. Alhamdulillah tahniah pengantin dan keluarga,” ujar seorang wargamaya.
“Tahniah ustaz! Jangan sedih.. semua ayah macam ni bila nak lepaskan anak! Insyaallah anak akan dijaga dengan baik!” pujuk seorang wargamaya.
“Tahniah dato.. Tersurat dan tersirat.. sebak saya tengoknya,” kata seorang wargamaya.
“Alhamdulillah, Tahniah Dato sekeluarga. Selamat pengantin baru buat anak Dato. Semoga kekal hingga akhir hayat,” ucap seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, hantaran berbentuk video tersebut telah menerima hampir 6,000 perkongsian di laman Facebook.