Gaya Hidup
“Hari Yang Sangat Istimewa” - 'Magneto' Dapat Vaksin Covid-19
Aktor yang terkenal dengan watak Magneto dalam siri filem X-Men, Sir Ian McKellen menjadi selebriti terkini yang menerima vaksin Covid-19.
Perkara tersebut dikongsi oleh pelakon berusia 81 tahun itu di Instagram miliknya sambil mengucapkan terima kasih kepada National Health Service (NHS), United Kingdom.
"Ianya hari yang sangat istimewa. Untuk sesiapa yang hidup lama seperti saya dan masih bernafas kerana mereka pernah menerima vaksin-vaksin sebelum ini.
"Pastinya 100% daripada generasi lama menerimanya kerana kita mendapatkannya bukan hanya untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk mereka yang dekat dengan kita. Kita lakukannya untuk masyarakat kita," tulisnya pada entri tersebut.
Tambah McKellen lagi, pengambilan vaksin tersebut tidak menyakitkan dan sungguh mudah.
"Bertemu dengan petugas-petugas NHS dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja begitu keras adalah satu bonus.
"Saya tidak teragak-agak untuk menyarankannya kepada orang lain. Saya sangat bertuah kerana mendapat vaksin ini," tulisnya lagi.
Sir Ian McKellen bukan sahaja terkenal sebagai Magneto dalam siri filem X-Men, tetapi juga sebagai watak ahli sihir (wizard) dalam filem-filem Lord of The Rings.
Terdahulu, United Kingdom menjadi negara pertama di dunia melaksanakan program Vaksin dan seorang pesara wanita menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin virus ini.
Kredit Gambar: Instagram Ian McKellen