Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Sukan

Harimau Malaya Bakal Miliki Pemain Bernilai RM72 Juta

Gempak 08/09/2024 | 08:25 MYT

Skuad Harimau Malaya berpeluang menambah lagi kekuatan di jentera tengah mereka selepas pemain Burnley FC, Josh Brownhill didakwa memiliki darah Malaysia menerusi neneknya.

Sedia Pertimbangan Wakili Malaysia

Perkembangan itu dikongsikan portal pencari bakat, frfuturetalents yang sememangnya giat menghimpunkan pemain dari luar negara yang berpotensi mewakili negara menerusi darah kacukan.

Menerusi satu kemaskini di laman platform X portal terbabit, pemain yang beraksi di Liga Kejuaraan itu sedia mempertimbangkan untuk mewakili Malaysia menerusi satu emel yang diterima oleh portal terbabit.

"Saya boleh mengesahkan yang saya memiliki keturunan Malaysia di sebelah nenek saya dan ini sesuatu yang menjadi kebanggaan saya.

"Ketika saya meletakkan fokus kepada karier kelab saya sehingga ke hari ini, kemungkinan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa menjadi sesuatu perkara yang boleh dipertimbangkan.

"Saya menghargai minat dan sokongan daripada penyokong dan komuniti bola sepak Malaysia dan saya akan berhati-hati dalam mempertimbangkan peluang mengenai perkara ini pada masa akan datang," kata Brownhill.

Sebagai rekod, pemain berusia 28 tahun itu yang memiliki nilai pasaran sekitar 15 Juta Euro (RM72 juta) memulakan karier remajanya bersama Manchester United sebelum menyertai Preston North End pada 2013 hingga 2016.

Dia juga pernah beraksi bersama Barnsley dan Bristol City sebelum menyertai Burnley pada 2020.

Sumber: Berita Harian

#Malaysia #Bola #Harimau Malaya #Burnley #Josh Brownhill
;