UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Hiburan

Harissa Adlynn Kongsi Pengalaman Berada Hanya 30 Kilometer Dari Palestin, Terharu Dikerumun Anak-Anak Gaza – “Saya Rasa Sedih Sangat Sebab…”

Khairil Khusyairi 04/02/2025 | 02:52 MYT
Pelakon Harissa Adlynn berkongsi momen dia menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza di Jordan pada penghujung Disember lalu.

Hanya 30KM Dari Palestin

Kongsi Harissa, 22, dia turut merasai pengalaman berada di kawasan sempadan Jordan yang hanya terletak kira-kira 30 kilometer dari negara Palestin ketika dia dan rombongan dalam perjalanan menziarah bandar sekitar Amman.
“Saya berada di sana selama 6 hari, semasa hari terkahir di sana kami ada masa terluang untuk pergi ke mana saja.

“Kami pilih untuk pergi ziarah makam-makam di sana, dan dalam perjalanan pemandu berhenti di tepi jalan dan sebelah saja jalan itu ada curam kecil dan tanah besar yang belakangnya bergunung-ganang.

“Kemudian pemandu beritahu yang belakang gunung tersebut adalah negara Palestin dan ia cuma 30 kilometer dari tempat kami itu,” kongsinya kepada Gempak.

Terkenang Nasib Saudara

Harissa yang menyertai misi bersama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) itu mengakui sebak apabila berada di kawasan tersebut kerana mengenangkan saudara-saudara di bumi Palestin.

“Bila saya berada di situ dan lihat, saya rasa macam ia sangat dekat tetapi jauh.

“Saya rasa sedih sangat sebab inilah termampu saya untuk bantu mereka tetapi sudah tentu pada masa akan datang saya akan tetap usaha untuk bantu mereka dari segala aspek.

“Saya suka untuk mengajak semua orang untuk turut sama membantu, jika tidak mampu untuk bantu, bantu dari segi memberi kesedaran pun sudah memadai,” ujarnya positif.

Dikerumun Anak-Anak Palestin

Gemar akan aktiviti sukarelawan dan komuniti sejak kecil lagi, pelakon drama hits Dedaun Hijau Di Angin Lalu itu turut dikerumuni kanak-kanak warga Palestin ketika dia berkunjung ke sebuah kem penempatan Gaza di sebuah daerah.

“Syukur sepanjang perjalanan kami itu tiada sekatan atau kekacauan, kami dijaga dengan baik.
“Ada satu momen kami pergi ke kem penempatan rakyat Gaza, orang tak masuk sangat tempat itu kerana keadaan sangat teruk.

“Jadi bila kami masuk ke kawasan itu, ramai budak-budak Palestin ikut kami. Mereka tak minta duit, makanan tetapi cuma pandang kami saja. Mungkin mereka teruja dengan wajah Melayu kita, saya rasa cantik pula,” seloroh Harissa.

Terdahulu, Harissa memilih untuk menyambut tahun baharu 2025 dengan cara berbeza apabila memilih untuk menyertai misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin selama hampir seminggu di Amman, Jordan.

#Selebriti #Palestin #Jordan #Sempadan #Harissa Adlynn #Misi Bantuan Kemanusiaan
;