Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Harris Alif Lalui Pengalaman Menarik Isteri Hamil, Kini Tampil Dengan Lagu ‘Terindah’ - “Ketika Proses Merakam, Saya Terima Berita…”

Asyikin Mayudin 26/03/2023 | 07:00 MYT

Penyanyi Harris Alif kini tampil dengan single terbaharu berjudul Terindah yang membawa seribu makna untuk dirinya memandangkan ia mempunyai kisah tersendiri.

Khas buat anaknya, Evie Khadeeja, Harris berkata dia melalui detik indah dan pengalaman menarik apabila menerima berita kehamilan isterinya, pelakon Intan Ladyana ketika merakam lagu itu.

"Selepas mendengar demo yang diberikan daripada pihak Sony Music, saya pun terima untuk menyanyikan lagu ini, jalan ceritanya juga berkait dengan dua lagu saya sebelum ini iaitu Anugerah dan Permaisuri.

"Saya merakamkan lagu ini tak lama selepas saya kahwin, dan ketika merakamkannya juga, saya terima berita isteri saya hamil cahaya mata pertama kami.

"Walaupun terjadi secara kebetulan, namun saya memilih untuk mendedikasikan lagu ini untuk anak saya. Tak dapat digambarkan betapa saya berasa terharu dan gembira ketika mula-mula tahu yang saya bakal menimang cahaya mata ketika itu," katanya.

Dalam pada itu, Harris menyifatkan rezeki bergelar bapa bukanlah sesuatu perkara yang biasa atau kecil-kecilan, tambahan ia adalah kali pertama berlaku dalam hidupnya.

Bagi penyanyi di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia ini, setiap perkara yang terjadi dalam hidupnya telah bergabung dengan indah.

"Pada pendapat saya, rezeki memiliki anak bukanlah satu kegembiraan yang biasa, tentunya ia menjadi kemanisan yang luar biasa. Tambahan lagi bait lirik lagu ini memang indah, jadi saya rasakan setiap perkara bergabung dengan sempurna.

"Melancarkan lagu selepas kahwin taklah begitu mencabar, yang mencabar adalah apabila kita memiliki anak kerana masa perlu dibahagikan dengan sebaik mungkin," katanya lagi.

Harris juga berharap agar buah tangan terbarunya diterima baik oleh para peminat dengan menikmati kisah penceritaan serta muzik videonya.

"Harapan saya semoga orang ramai suka dengar lagu ini dan menonton muzik videonya. Untuk pasangan yang baru kahwin, saya harap mereka dapat mengaitkan kisah lagu ini dengan hidup mereka, terutamanya bagi yang baru memiliki cahaya mata seperti saya dan isteri," ujarnya.

Lagu Terindah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

#Intan Ladyana #Intan #Harris Alif #Harris #Harris anak #Harris Intan #Harris Terindah
;