Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Harry Khalifah Bersedia Jika Misi Bantuan DiPolitikkan! – “Berani Kerana Benar, Buat Apa Nak Takut…”

Fiza Kamarudin 09/07/2021 | 01:20 MYT
Penyanyi dan komposer terkenal, Harry Khalifah, 42, bersedia dengan risiko kemungkinan misi bantuan yang dijalankan bersama Pertubuhan Generasi Muafakat Malaysia (PGMM), dipolitikkan.
Harry berkata demikikan ketika diminta mengulas mengenai seorang NGO yang dikatakan memberikan info tidak tepat ketika membuat panggilan ke sebuah stesen radio sehingga menarik perhatian ahli politik.
“Saya ada baca berita tersebut dan itulah risiko kita sebagai NGO. Apa sahaja boleh berlaku termasuklah menarik perhatian wakil rakyat atau orang-orang politik ini.
“Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi hampir serupa dengan dia (pemanggil). Saya pernah terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis di hadapan rumah kerana kelaparan.
“Ketika itu saya di Batang Kali dan secara kebetulan sedang memberikan bantuan di sana. Perkara seumpama itu memang wujud.
“Sebelum menubuhkan PGMM saya memang sudah bersedia fizikal dan mental sekiranya berlaku isu-isu tidak diingini,” katanya.
Harry Khalifah mengambil inisiatif menubuhkan PGMM bersama empat rakan artis lain iaitu Ezad Lazim, Floor 88, Syafiq Farhain dan Danial Zaini.
Menurut Harry, PGMM ditubuhkan bagi membantu golongan memerlukan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Harry yang juga Presiden PGMM berkata, agihan sumbangan bermula pada Khamis di Sungai Buloh, yang membabitkan 100 keluarga dan 100 keluarga lagi pada Jumaat di kawasan Ampang.

A post shared by APAK HARRY KHALIFAH (@harry_khalifah)

"Idea menubuhkan PGMM timbul apabila melihat di media sosial ramai yang perlukan bantuan. Jiran saya pun ada. Kalau saya nak bergerak seorang, mungkin tak mampu, jadi saya ajak kawan-kawan.
"Mula-mula dulu kami kumpul dana sendiri dengan membeli barangan keperluan asas dan agihkan pada yang selayaknya.
“Alhamdulillah selepas wujudkan PGMM, kami mendapat kerjasama dan sokongan daripada syarikat Amar Musafir Holdings Sdn Bhd yang menyediakan bekalan makanan untuk 200 ahli keluarga.
“Insya-Allah, aktiviti ini akan terus terhenti di sini. Selagi kami ada dana dan pihak yang ingin membantu kami akan usahakan,” katanya.
Menurut Harry, buat masa sekarang PGMM sudah menerima lebih 760 permohonan bantuan.
"Saya tak sangka yang sebenarnya ramai rakyat kita hidup dalam kesusahan. Dengan tertubuhnya PGMM ini baru saya sedar perkara itu dan ia benar-benar membuka mata saya.
"Saya juga menyeru dan merayu kepada rakan-rakan artis yang berkemampuan dan ada rezeki lebih, sama-samalah kita turun padang membantu mereka yang sedang kesusahan,” katanya.
#COVID-19 #PKPD #Harry Khalifah #PKP 3.0 #Bantuan PGMM
;