Hasrat Untuk Duet Bersama Ziana Zain Tercapai, Alyph Rasa Bertuah - “Ketika Tulis Lirik Saya Hanya Boleh Bayangkan…”
Penyanyi dan komposer Alyph menzahirkan rasa syukur selepas hasratnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi legenda Ziana Zain menerusi album The Storm tercapai.
Kolaborasi bersama Ziana Zain
Alyph atau nama lengkapnya Muhammad Alif Abdullah, 34, berkongsi ketika dalam proses pembikinan lagu, hanya nama Ziana Zain yang terlintas dalam fikiran untuk menyanyikan lagu Teman dan Gerak bersamanya.
“Saya tidak terfikir orang lain, ketika saya dalam proses untuk menulis lirik lagu Teman dan Gerak saya hanya boleh bayangkan Ziana Zain.
"Pada awalnya, saya sudah bersedia sekiranya Ziana tidak bersetuju untuk berkolaborasi dalam album ini kerana saya agak bimbang kalau Ziana tidak selesa dengan konsep dan jalan cerita dua lagu ini, namun syukur dia menerimanya.
"Saya rasa sangat bertuah apabila dia setuju untuk merakamkan lagu-lagu ciptaan saya. Kedua-dua lagu itu dirakam dalam masa sehari," katanya ketika ditemui pada sesi pra dengar album The Storm di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.
Menurut Alyph, album The Storm yang memuatkan 12 lagu ini menceritakan kisah-kisah insan disekililingya.
“Kali ini saya sangat gembira kerana saya berhenti sekejap untuk hasilkan lagu untuk artis lain dan fokus dengan karier saya dan dapat hasilkan album ini.
"Semua lagu dihasilkan daripada kisah-kisah benar daripada kawan-kawan, keluarga yang saya nampak setiap tetapi menerusi album ini saya fiksyen kan sedikit.
"Album ini adalah sudut pandang masa lalu, sekarang, dan masa hadapan. Ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang saya pelajari daripada ibu saya. Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang dan penderitaan," katanya.
Selain Teman, Gerak, judul lain yang dimuatkan dalam album itu adalah Sorok Muka, Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Ingat, Mekar, Dari Jauh dan Siapa Yang Ajar?.
Sekadar info, The Storm bakal berada di pasaran pada 24 Januari depan.