Hawa Rizwana Dah Tak Sabar Menantikan ‘Big Day’ Bersama Insan Istimewa - “Dia Sangat Bijak Dari Saya”
Pengacara MeleTOP Hawa Ridzwana meluahkan rasa teruja apabila Majlis Konvokesyen yang ditunggu-tunggu sejak hampir dua tahun bakal berlangsung pada Ahad ini.
Menurut Hawa, dia menganggap majlis tersebut seperti hari bahagianya memandangkan berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan memperolehi keputusan cemerlang.
“Saya mula buat Master Mac 2019 dan selesai dalam sekitar Januari 2021. Jadi hampir dua tahun juga nak tunggu majlis konvoksyen ni. Jadi, sudah tentu saya sangat teruja.
“Mungkin ada segelintir orang, wedding adalah big day mereka. Tapi saya pula, konvoksyen ini dah macam my big day. Hampir dua tahun juga saya sambung belajar Master.
“Rasa bersyukur sebab saya dapat lalui pengalaman kelas online, dan kelas secara fizikal. Insya-Allah ada rezeki, memang nak sambung ke PHD pula,” katanya kepada Gempak.
Sebelum ini, Hawa pernah berkongsi slip keputusan peperiksaannya dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.78.
Sementara itu, Hawa turut memberitahu dia juga akan menghadiri majlis tersebut bersama pembantu peribadinya yang juga rakan pengajiannya.
“Kalau nak tahu, pembantu peribadi juga akan sama-sama konvo dengan saya Ahad ini. Saya kenal dia masa sambung Master, jadi lebih tiga tahun juga kami belajar dan bekerja sama.
“Itu yang membuatkan saya lagi teruja sebab dapat sama-sama selesaikan pelajaran dan hadiri majlis konvokesyen bersama. Ada hikmah juga saya kenal dengan dia.
“Sebab dia seorang yang sangat bijak… bijak daripada saya. Jadi, saya perlukan orang bijak seperti dia untuk guide saya dalam industri ini,” ujarnya.