Laman Utama
Hazama Harap ST12 Dapat Jadi Jambatan Ke Negara Seberang
Penyanyi Hazama berbesar hati apabila dapat berkolaborasi dengan ST12 dalam single terbaharu Harapan Tak Kunjung Usai sekaligus tampil dalam konsert kumpulan popular Indonesia sejak tahun 2004 itu, ST12 Live In Malaysia.
Kata Hazama kolaborasi bersama ST12 itu diharapkan menjadi ruang terbaik untuk memperkenalkan bakatnya di negara jiran.
“Siapa yang tidak kenal ST12? Saya sendiri mengagumi kekuatan muzik mereka yang berjaya menyatukan peminat di kedua-dua negara. Apabila diberi kesempatan besar seperti ini, pastinya saya menyambut dengan tangan yang terbuka.
“Kolaborasi ini juga membuka ruang untuk saya meneroka pasaran baharu dengan lebih luas, sekali gus membantu saya memahat nama dengan lebih kukuh di Indonesia,” katanya ketika sidaSng media secara virtual baru-baru ini.
Selain Hazama, ST12 Live In Malaysia di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan turut akan menampilkan Firman Siagian dan juara Indonesian Idol musim kelima, Aris sebagai vokalis.
Pemain dram ST12, Pepep berkata, pemilihan Hazama bertepatan dengan usaha mereka yang mahu menyatukan pengkarya antara dua negara serumpun, selain memperluaskan lagi pengaruh muzik ST12 dengan mendekati kelompok peminat baharu.
“Kemunculan Hazama dalam konsert tersebut, secara tidak langsung merancakkan lagi siri promosi single kolaborasi kami, Harapan Tak Kunjung Usai.
“Kami mahu menyajikan sesuatu yang segar dan berbeza buat peminat di kedua-dua negara. Pencinta muzik baik di Malaysia, mahupun di Indonesia mempunyai cita rasa yang sama,” ujarnya.
Harapan Tak Kunjung Usai dilancarkan di Indonesia pada 5 September ini, seterusnya diperkenalkan kepada peminat di negara ini pada 18 September depan.
Tiket menyaksikan ST12 Live In Malaysia pada harga RM139 (Kepingan Hati), RM169 (Puspa), RM229 (Cukup Sampai Di Sini), RM289 (Putih Putih Melati) dan RM4099 (Jalan Terbaik – Royal Box VVIP) boleh diperoleh menerusi pautan: www.ticket2u.com.my/st12.