Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Gaya Hidup

Hebat! Rizalman Ibrahim Terima Lantikan Akademik Kedua, Kini Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Gempak 14/11/2024 | 09:44 MYT
Pengasas Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC) dilantik sebagai sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pelantikan itu dibuat dalam usaha universiti berkenaan meningkatkan kecemerlangannya sebagai sebuah universiti perdana dalam memaju dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Menyambut baik lantikan itu, Dato’ Rizalman, 53, merakamkan penghargaan yang tulus kepada pimpinan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya kerana memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan aspirasi dengan masyarakat.
Menurut Dato’ Rizalman, tidak pernah terlintas di fikiran untuk beliau untuk diberi peranan sebesar ini daripada sebuah universiti ulung negara.
Ini kerana, kata beliau, selama ini, usaha yang beliau gerakkan semata-mata untuk mempersiapkan diri dalam melalui fasa hidup yang seterusnya.
Dalam masa sama, Dato’ Rizalman menyedari, ilmu yang beliau peroleh harus dimanfaatkan untuk kebaikan semua pengikutnya di akaun media sosial secara khususnya dan bersama-sama dengan umat Islam lain.
“Dalam masa sama seperti kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita ialah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.
“Kerana itu, saya terlalu bersyukur kerana usaha saya selama ini menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama dan dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang secara positif oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,” jelas Dato’ Rizalman.
Kata Dato’ Rizalman, tugas baharu di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya mencakupi perkongsian ilmu dan pengalaman bukan sahaja dengan pelajar, bahkan, pasukan tenaga pengajar dan pengurusan juga akan dilibatkan sama.
Dato’ Rizalman turut menarik perhatian komitmen beliau dengan pusat pengajian tinggi sejajar dengan prinsipnya yang sentiasa mengajak seluruh masyarakat bahawa setiap manusia tidak pernah terlepas daripada perlu sentiasa menimba ilmu.
“Seperti yang saya sering sebut, realitinya, kita semua (manusia) datang dari sebuah ‘universiti’ (dunia) yang sama. Dunia adalah universiti kepada kita. Manusia adalah pelajar-pelajarnya dan saya bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang tenaga pembimbing,” jelas beliau yang menyifatkan pelantikan ini amat besar maknanya sebagai khalifah di bumi Allah SWT.
“Saya sedar yang dalam diri saya juga masih ada banyak kekurangan. Justeru, bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada, bahkan saya sendiri akan rebut peluang untuk menimba ilmu daripada ekosistem yang akan saya sertai kelak.”
Sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dato’ Rizalman akan memikul peranan sebagai penasihat kepada fakulti dan jabatan dalam aktiviti program khususnya yang berkaitan dengan penyelidikan dan perundingan seiring dengan hasrat pusat pengajian itu.
Dato’ Rizalman juga akan ditawarkan memberi syarahan kepakaran dan seminar kepada penuntut-penuntut dan tenaga pengajar di universiti berkenaan.
Pendekatan sedemikian dikenal pasti oleh Universiti Malaya ke arah mencapai matlamat melalui kolaborasi dengan ahli-ahli profesional, korporat dan pemimpin yang telah melakar kejayaan memberangsangkan dalam bidang masing-masing.
Untuk rekod, ini merupakan lantikan akademik kedua buat Dato’ Rizalman selepas dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara pada Ogos tahun lalu.
Sementara itu, bagi RIC, pelantikan ini merupakan penghargaan yang besar daripada universiti perdana negara kepada Dato’ Rizalman sejajar dengan dedikasi beliau dalam kerja-kerja meningkatkan syiar Islam dan kebajikan.
RIC juga optimis dengan amanah baharu yang diberikan kepada Dato’ Rizalman akan menjadi inspirasi dan motivasi buat beliau untuk terus memainkan peranan dalam membentuk perspektif yang lebih holistik terhadap pengajian Islam.
#Viral #Rizalman #Fesyen #Universiti Malaya #Profesor Adjung
;