Laman Utama
Hidupan Laut Atlantis Ilham Arunsayfull, Pertama Kali Perkenal Koleksi Lelaki Di KLFW2023!
Kali kedua muncul di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2023), jenama fesyen Arunsayfull memperkenalkan koleksi yang diberi nama Matamorphaseas.
Mengetengahkan 25 rekaan, kali ini Arunsayfull memilih rona hitam, putih dan biru sebagai simbahan kemewahan di setiap cebisan rekaannya.
Tema yang dipilih Arunsayfull kali ini, diinspirasikan dari keindahan lautan Atlantik dan keajaiban hidupan di dasar laut.
Metamorphaseas diilhamkan Arunsayfull di dalam deretan rekaan mewah bersama perincian menikam kalbu dengan penggunaan 3 fabrik utama iaitu sutera satin, sutera dan shantung.
Bukan sekadar rekaan untuk golongan wanita sahaja, namun Arunsayfull mengambil selangkah ke depan dengan menyenaraikan rekaan untuk golongan lelaki.
"Alhamdulillah sejak pertunjukkan pertama di KLFW tahun lalu, martabat jenama Arunsayfull telah meningkat di mata pelanggan dan kepercayaan mereka terhadap kualiti rekaan kami juga bertambah baik.
"Buat pertama kalinya di dalam sejarah Arunsayfull, kami akan menampilkan koleksi termahal yang pernah kami lahirkan sepanjang kami bergelar pereka fesyen.
"Malah buat julung kalinya juga, kami memaparkan koleksi lelaki dengan sentuhan tersendiri dan mewah," kata pereka fesyen duo berkenaan.
Arunsayfull merupakan sebuah jenama tempatan yang terdiri daripada dua pereka muda yang sangat berbakat besar iaitu Arun Mateen, 28, yang berasal dari Kuantan, Pahang manakala Saiful Izham, 36, berasal dari Kulim, Kedah.
Rekaan adi busana Arunsayfull tidak mengecewakan kerana mempunyai citarasa mewah, unik dan lain daripada yang lain.
Malah, Arunsayfull cukup dikenali dengan potongan dan pemakaian material yang mewah serta perincian mahupun sulaman manik yang mewah.
Arunsayfull percaya, dengan perubahan ‘climate’ fesyen ketika ini, membuatkan mereka berani untuk mengetengahkan rekaan jejaka yang turut menyumbang kepada ‘purchasing power’ dalam berpakaian.
"Kami melihat jejaka masa kini lebih cenderung membelanjakan wang mereka untuk berfesyen. Di mana kami percaya sebagai usahawan kita perlu lebih inovatif dalam mempelbagaikan produk rekaan untuk lelaki mahupun wanita.
"Untuk rekaan lelaki, kami menampilkan potongan yang lebih maskulin. Sementara untuk koleksi wanita, kami menggunakan material dan potongan yang mewah dan bercitarasa antarabangsa," kata mereka.
Sesuai dengan rekaan Arunsayfull yang mewah dan berani, mereka memfokuskan untuk mendapat perhatian golongan elite dan juga fashionista.
KLFW merupakan impian setiap pengamal fesyen industri kerana acara ini adalah acara tahunan yang paling dinantikan oleh pengemar fesyen dan untuk berada di pentas berprestij ini pastinya terdapat pelbagai halangan dan cabaran.