Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Hina Agama: Wanita Dakwa Hafal 15 Juzuk Al-Quran Mengaku Bersalah, Didenda RM8,000

Gempak 17/04/2023 | 09:25 MYT

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Siti Nuramira Abdullah, wanita tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Siti Nuramira, 27, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal bayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, wanita berkenaan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut bahawa dirinya seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan di atas pentas.
Kesalahan dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, 4 Jun 2022, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) KK iaitu perbuatan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama antara orang yang menganut agama sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada Siti Nuramira yang difailkan pada 16 Mac lalu.
"Untuk maklumat mahkamah, representasi berkenaan diterima. Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 298 KK," katanya.
Siti Nuramira mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu sebelum peguam belanya, R Sivaraj, merayu anak guam layak mendapat hukuman ringan berbentuk denda kerana menjimatkan masa mahkamah serta adalah kesalahan pertama.
Peguam itu berkata, Siti Nuramira bahru berkahwin empat bulan lalu dan mahu kehidupan aman.
"Nuramira 'menghilangkan' diri daripada media sosial supaya tidak mencetuskan sebarang kontroversi lagi. Tertuduh direman 10 hari sebelum ini.
"Anak guam amat menyesali dengan kesalahan dan memohon maaf kepada pihak berkaitan. Kami mohon hukuman yang diberikan tidak bersifat menghukum tetapi berbentuk pengajaran," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Malik memohon supaya mahkamah memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan itu mendapat perhatian orang ramai.
"Walaupun hukuman di bawah Seksyen 298 KK lebih ringan, namun tidak bermaksud kesalahan tertuduh tidak serius.
"Kami berharap mahkamah memberi hukuman yang menggambarkan keseriusan kesalahan itu," katanya.
Sumber: Harian Metro

#Komedi #Stand Up Comedy #TTDI #CrackHouse #Hina Agama #Siti Nuramira
;