Laman Utama

HOC Tak Jual Barang Fake, Din Search Nafi Cari Gaduh: "Buat Apa Saya Nak Ambil Hak Orang"

Maliah Surip
28/05/2021
10:47 MYT
Sponsor Banner
HOC Tak Jual Barang Fake, Din Search Nafi Cari Gaduh: "Buat Apa Saya Nak Ambil Hak Orang"
Kemelut mengenai penjualan aksesori Search di bawah Home Of Champions (HOC) tanpa persetujuan dua anggota kumpulan legenda tersebut iaitu Amy (bekas vokalis) dan Nasir (bass) serta waris Allahyarham Yazit (dram) masih belum usai.
Melalui sebuah sidang media secara virtual yang diadakan dengan kehadiran Mozylir Mokhtaruddin selaku pemilik perniagaan dan pengurus HOC, Din (gitaris) dan pihak guaman yang dilantik, Tetuan Sharif Ridzuan & Co. mereka menjawab kenyataan yang dikeluarkan Amy, Nasir dan anak Yazit menerusi siaran langsung dalam Instagram sebelum ini.
Dengan tegas, Mozy menafikan semua aksesori dan barangan yang dijual di antaranya facebook, Instagram dan laman web www.fenomenasearch.com adalah palsu. Dia juga menafikan HOC adalah scammer.
Mozy juga menjelaskan penjualan barangan tersebut telah mendapat persetujuan dua anggota Search yang tinggal pada masa ini iaitu Din dan Kit termasuk Nasir sejak Februari tahun lalu menerusi Konsert Apologia.
"Semua barangan yang dijual bukan fake dan HOC bukan scammer. Jika kami barang fake dan HOC scammer, tak mungkin saya melakukan semua urusan secara terbuka dan besar besaran.
"Dan saya di sini juga menafikan bahawa HOC menjual barangan atau aksesori tanpa kebenaran Search.
"Semuanya telah dipersetujui Din dan Kit termasuk Nasir selepas Amy meninggalkan Search pada Februari 2020. Jadi semua dakwaan mengenai HOC adalah tidak berasas sama sekali," jelas Mozy dalam sidang media tersebut.
Din bagaimanapun mengaku Nasir tidak menandatangi sebarang kontrak atau perjanjian mengenai projek yang dijalankan bersama HOC seperti menjual kasut.
"Memang tak ada tandatangan apa apa, namun pada dasarnya dia (Nasir) bersetuju, sementara Amy pula memang gagal dihubungi sama ada secara panggilan telefon atau kiriman WhatsApp.
"Oleh kerana dia memang sudah tidak bersama Search, jadi saya tak boleh tunggu, Kami uruskan ini bersama Nasir kerana selama lebih 20 tahun, Nasir banyak menguruskan Search, dan kami jalan kerana Nasir mengetahui projek ini," kata Din atau nama sebenarnya Noordin Mohd Taib.
Saat ditanya adakah Nasir sebagai orang tengah gagal menyalurkan maklumat tepat kepada Amy yang enggan bertemu mereka, Din tidak mahu memberi komen yang mampu menimbulkan salah faham.
Pemain gitar irama itu juga mengatakan tindakan yang dilakukan sekarang bukan untuk mencari gaduh, apa lagi bertindak bijak seorang diri, namun dia percaya apa yang diusahakan bersama HOC akan memberi pulangan atau perkara baik kepada semua anggota Search yang lain biarpun tidak sama banyak.
"Saya bukan nak pandai pandai sendiri seperti dakwaan sebelum ini. Saya juga bukan nak bergaduh. Tapi kenapa saya tak boleh guna nama Search? Buat apa saya nak ambil hak orang? Saya tidak akan menafikan hak mereka," katanya lagi.
Sementara itu, pihak HOC memaklumkan sudah menerima surat tuntutan daripada pihak Amy, Nasir dan waris Yazit pada Selesa lalu.
Meski demikian, dia dan Din tidak akan menghentikan proses atau projek yang sedang mereka jalankan dan pembeli disarankan terus menempah barangan yang disukai untuk sebarang pembelian.
"Kami akan teruskan, kami ada banyak kerja. Ini satu gangguan untuk menidakkan projek ini," kata Din ringkas.
Terdahulu bekas penyanyi kumpulan rock No.1 Malaysia, Suhaimi Abdul Rahman (Amy) dan Nasir Daud (Nasir) menerusi sebuah kenyataan media memberitahu Home Of Champions (HOC) telah menggunakan nama SEARCH tanpa kebenaran untuk menjual pakaian dan aksesori dibeberapa platform media sosial antaranya Facebook, Instagram dan laman web www.fenomenasearch.com.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar