“Hubungan Intim Bukan Punca Utama, 90 Peratus Pasangan Bercerai Sebab Abaikan Solat” - Ustazah Asma’ Harun
Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun mengulas mengenai isu atau punca utama mengenai masalah penceraian rumah tangga di negara ini.
Menurut Ustazah Asma’, hubungan intim bukanlah merupakan masalah kepada perpecahan dan perceraian rumah tangga di negara ini.
Sebaliknya 90 peratus rumah tangga yang berakhir dengan perceraian atau menghadapi pergaduhan berpanjangan adalah disebabkan mereka mengabaikan solat.
Mengukuhkan lagi ulasannya, beliau memaklumkan segala info yang diberi adalah berdasarkan analis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh bertugas.
“Memang benar di antara punca perpecahan dan penceraian suami isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.
“Punca utama dan terbesar adalah kurang pegangan dan amalan agama, kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Hampir 90% rumahtangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah mereka yang mengabaikan SOLAT.
“Walaupun pasangan datang mengadukan isu lain seperti orang ketiga, keewangan, hubungan intim dan lain-lain.
“Ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.
“Contoh mudah faham, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan.
“Paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah, maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.
“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, beliau juga menasihatkan suami atau isteri tidak boleh mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan meskipun secara rahsia.
“Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan bahkan walaupun diberi alasan tiada siapa yang tahu dirinya siapa.
“Kerana boleh jadi pasangannya tahu atau ia boleh berlaku ketirisan maklumat.
“Konsultasi yang dilaksanakan diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara yang bermaruah.
“Pesanan buat semua pasangan, dalam berusaha menyelesaikan apa jua masalah rumahtangga, ingatlah bahawa perunding, penasihat, kaunselor atau pegawai agama mahupun sesiapa yang dipercayai adalah perantaraan sahaja.
“Paling utama peliharalah hubungan dengan Allah, maka Allah akan memelihara hubungan sesama kita.
“Yakin dan kembalilah kepada Allah SWT, patuhi perintah dan tinggalkan laranganNya, lalu berusaha dan berdoa kepadaNya,” jelasnya.
Di bawah merupakan hantaran penuh Ustazah Asma’: