Laman Utama
“Hukuman Gantung Terlalu Berat…”- Hadir Sebutan Kes Yasin, Syed Saddiq Cadang Iktiraf Kanabis?
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penggunaan dadah jenis kanabis di negara ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pada pertemuan tersebut, beliau berkongsi padangan agar Jabatan Peguam Negara diberi kuasa untuk memberi pertimbangan yang lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis.
Malah, Ahli Parlimen Muar itu turut menyarankan agar hakim-hakim perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.
"Ini kerana kita perlu mengendalikan kes-kes ini dengan cermat supaya pesakit yang terpaksa menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan diberikan kelonggaran yang sewajarnya dengan tujuan penggunaan mereka.
"Malah, hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan memerlukan mereka untuk mencari perubatan alternatif seperti kanabis dan hem," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan beliau selepas menghadiri sebutan kes penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman di Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.
Artis popular itu berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Mengulas lanjut, selaku Pengerusi Kaukus Medical Marijuana, Syed Saddiq turut mengemukakan beberapa ulasan umum berkenaan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
Ujarnya, kerajaan harus mengiktiraf bahawa terdapat banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan dan mereka bukan kumpulan yang mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berpandangan, sudah tiba masanya Malaysia mengikut jejak langkah lebih 40 buah negara di seluruh dunia dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.
"Langkah yang diambil di negara lain ini juga perlu dilihat sebagai satu dorongan untuk kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera.
"Malah, badan kesihatan dunia seperti World Health Organisation (WHO) juga mengiktiraf bahawa penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan ini sebagai alternatif kepada para pesakit," katanya lagi.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, tindakan para pesakit mencari perubatan alternatif tersebut tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh, seperti mengenakan hukuman gantung.
Sehubungan itu , Syed Saddiq akan terus mengikuti perkembangan kes Yasin dari semasa ke semasa dan berhubung rapat dengan keluarga penyanyi itu.
"Kes mahkamah Yasin ini sudah pasti akan menjadi satu rujukan untuk Ahli-Ahli Parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan.
"Semoga kes ini berjalan dengan lancar," katanya.
Mengikut pertuduhan, penyanyi popular dengan lagu Mimpi Laila yang berusia 47 tahun itu didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sumber: Awani